Boikot produk AS, Israel hanya satu retorik - penganalisis

Boikot produk AS, Israel hanya satu retorik - penganalisis
Tindakan boikot mana-mana produk tidak memberi impak kepada jenama syarikat, apa lagi negara yang terbabit kerana perdagangan peringkat global masih diteruskan. -Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: SETIAP kali isu berkaitan Amerika Syarikat dan Israel tercetus, pastinya ramai mula bersuara untuk memboikot pembelian barang-barang dari kedua-dua negara itu.

Namun, adakah pelaksanaan memboikot produk itu benar memberi impak dan mengubah landskap politik, seperti apa yang sedang berlaku di Baitulmaqdis?

Menurut penganalisis ekonomi Shan Saeed, idea untuk memboikot itu satu retorik kerana jika satu pihak bertindak untuk memboikot, pastinya pihak lain akan terus membeli, tidak kira pihak dari negara lain atau pun pelabur global.

"Boikot ini adalah satu tindakan yang hanya memberi kesan jangka masa pendek, kerana pasaran akan menilai dan melihat sentimen dalam kalangan pelabur global.
"Namun jika risiko geopolitik semakin tinggi, ia mungkin akan memberi kesan kepada harga komoditi dunia.

"Tetapi ini jangka masa panjang, ia bergantung kepada kuasa pasaran untuk menentukan semua harga komoditi," kata Shan dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.

Beliau menjelaskan tindakan boikot mana-mana produk tidak memberi impak kepada jenama syarikat, apa lagi negara yang terbabit kerana perdagangan peringkat global masih diteruskan.

"Jika anda boikot sesuatu produk, mungkin anda masih perlu membeli produk yang lain pada harga lebih mahal.

"Pada masa sama, produk yang diboikot itu biasanya akan tetap dibeli oleh orang lain, maka ia sememangnya tidak memberi kesan," katanya.

Semalam, Ketua Bahagian Pas (Kepala Batas), Bukhori Ghazali dalam satu perhimpunan di Butterworth menyeru semua masjid untuk menganjurkan khutbah berkaitan memboikot pembelian barang-barang dari AS dan Israel.

Di peringkat global pula, 10 Persatuan Perniagaan di Mesir bersatu untuk melaksanakan boikot ke atas semua produk AS, manakala pelajar-pelajar universiti di Jordan mengadakan bantahan bagi menggesa boikot ke atas AS.

Ia dilihat sebagai satu kutukan dan bantahan terhadap keputusan Presiden AS, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.