MALAYSIA
Boleh demonstrasi, tapi bukan pada majlis konvo - Dr Mahathir

Graduan protes di pentas majlis istiadat konvokesyen tular di media sosial. Foto Sinar Harian / Twitter Hazwan Syafiq
Kerajaan tidak akan mencampuri sebarang keputusan yang dibuat pihak pengurusan universiti berikutan tindakan seorang graduan menjerit dan melakukan protes pada satu majlis istiadat konvokesyen baru-baru ini.
Tegas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, graduan perlu mematuhi prosedur, protokol dan undang-undang yang telah ditetapkan pihak universiti.
Jika graduan bertindak sebaliknya, katanya, ia boleh mencetuskan kekecohan dan insiden di luar jangkaan.
“Apa akan berlaku jika keseluruhan majlis konvokesyen dipenuhi kumpulan ini dan tunjuk perasaan (daripada kumpulan terbabit)?
“Mereka (graduan) boleh melakukan demonstrasi, tetapi di tempat lain (bukan pada majlis konvokesyen),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, graduan tidak seharusnya mengganggu-gugat perjalanan majlis yang dianjurkan pihak universiti.
“Jangan menganggu majlis rasmi dengan cuba menunjukkan sesetengah pandangan (ketidakpuasan hati). Anda boleh memilih pandangan tersebut.
“Bagaimanapun, kami tidak akan campur tangan dalam urusan universiti dan mereka bebas membuat keputusan sendiri,” ujarnya.
Tindakan graduan tersebut menerima pelbagai reaksi, termasuk menyifatkan ia sebagai perbuatan biadab.
Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Pegawai Keselamatan UM di Balai Polis Pantai kira-kira jam 12.32 tengah malam pada Isnin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami