Negara dijangka dapat menjimatkan RM3.2 bilion sekiranya jagung ditanam dalam negara berbanding mengimportnya, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ketika ini negara membelanjakan RM3.2 bilion untuk mengimport tiga juta tan metrik (mt) jagung setiap tahun bagi menampung keperluan permintaan dalam negara.

"Saya berpendapat sekiranya kita berhasrat mahu melakukan penanaman sendiri, ia memerlukan kawasan seluas 300,000 hingga 400,000 hektar tanaman jagung bagi menampung permintaan jagung di dalam negara.

"Ini merupakan salah satu cara kita menjimatkan perbelanjaan negara dan saya memuji usaha yang telah dilakukan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) yang giat membuka kawasan-kawasan baharu bagi penanaman jagung bagi menghasilkan makanan ternakan ayam tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPNJ ke-39 di sini pada Khamis.

Tambah Ahmad Shabery, tahap sara diri bagi pengeluaran daging ayam tempatan adalah sebanyak 100 peratus tetapi Malaysia mengimport sebanyak 100 peratus makanan untuk ternakan terutama jagung bijian.

"Majoriti jagung kita import dari Argentina dan jumlah penanaman jagung yang sedia ada di dalam negara pada hari ini tidak melebihi 1,000 hektar dengan majoriti tanaman berada di Johor dengan keluasan tanaman lebih kurang 500 hektar.

"Saya percaya kita boleh contohi negara Indonesia, Filipina dan Thailand di mana sara diri mereka untuk jagung hampir mencukupi. Harga bagi tanaman jagung juga meningkat lima peratus setiap tahun," jelasnya.

Menurut Ahmad Shabery, rakyat Malaysia memerlukan bekalan daging ayam sebanyak 1.8 juta ekor dan 28 juta telur ayam sehari yang dipengaruhi oleh kualiti jagung yang diberikan kepada ternakan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau juga berkata negara memerlukan sekurang-kurangnya 50,000 ekor bekalan lembu hidup pada masa hadapan terutamanya pada musim raya korban bagi menampung permintaan daging pada tempoh berkenaan.

-- BERNAMA