Tutup

Bom Bangkok: Jasad kelima warga Malaysia dijumpai

Bom Bangkok: Jasad kelima warga Malaysia dijumpai
Mayat Lim Su See, 52, yang dikatakan hilang sebelum ini merupakan antara tujuh sekeluarga rakyat Malaysia yang bercuti di Bangkok ketika kejadian. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jasad kelima mangsa korban letupan bom di Bangkok dilapor telah ditemukan dan akan tiba di Pulau Pinang malam ini.

Portal The Star Online melaporkan kenalan rapat keluarga itu Visen Lim Gim Seong, 46, memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah menjumpai mayat Lim Su See, 52, sekitar tengah malam semalam.

"Jasadnya akan dibawa pulang malam esok selepas selesai menjalani prosedur post mortem," katanya sepertimana dipetik The Star Online.

Jasad Su See yang dikatakan hilang sebelum ini merupakan antara tujuh sekeluarga rakyat Malaysia yang bercuti di Bangkok ketika kejadian.
Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain ketika dihubungi semalam bagaimanapun memaklumkan sehingga kini hanya empat jasad disahkan dan selebihnya sedang menjalani proses pengecaman DNA.

Dalam pada itu, portal theSun melaporkan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai berkata pihak berkuasa sedang menjalankan ujian DNA dan pengesahan akan dibuat setelah keputusan ujian diperoleh.
Su See ialah kakak kepada Lim Saw Gek, 49, yang turut terbunuh dalam insiden letupan tersebut.

Turut terbunuh dalam kejadian pada Isnin itu adalah anak lelaki Saw Gek, Neoh Jai Jun, 20; menantu, Lee Tze Siang, 35, serta cucu perempuan, Lee Jing Xuan, 4.

Suami Saw Gek, Neoh Hock Guan, 55, cedera manakala anaknya yang hamil lima bulan, Neoh Yee Ling, 33, tidak cedera kerana dikatakan tidak berada di tempat kejadian ketika letupan.

Su See, yang menetap di Singapura dikatakan mendapat taraf penduduk tetap negara itu.

Mereka sekeluarga ke Bangkok Sabtu lalu dengan kereta api dan dijadual kembali ke tanah air pada Selasa.