Tindakan agresif sekumpulan individu yang enggan berkerjasama apabila kenderaan mereka ditahan polis akhirnya membawa kepada penemuan sebutir bom tangan yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata, dalam kejadian tengah hari Khamis, pihaknya berjaya menemui bahan letupan itu susulan penemuan dua lagi senjata di but kereta Toyota Vios tersebut.

Katanya, pihak polis sebelum itu menemui dua bilah parang serta dua batang rotan di dalam kenderaan yang dinaiki dua lelaki dan satu wanita itu.

“Semasa pasukan polis menghampiri kereta yang dinaiki tiga suspek ini, mereka telah bertindak agresif sebelum pihak kami berjaya menahan mereka.

“Hasil siasatan kemudian menemui dua bilah parang dan dua batang rotan sebelum sebutir turut ditemukan dalam kenderaan.

“Dua jenis senjata itu kini dirampas manakala bom tangan ditemui telah diambil oleh Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dan diletupkan di satu kawasan lapang di ladang kelapa sawit semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Menurut Mohd Nor, susulan penemuan bahan dan alatan merbahaya itu, tiga individu termasuk wanita berusia 57 tahun kini ditahan sebelum dibawa ke Majistret Jasin hari ini bagi memohon perintah reman.

Katanya, kes disiasat Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957/ Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.