Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mensasarkan penurunan sebanyak 20 peratus dalam kes kemalangan jalan raya, kebakaran dan penyelamatan yang menyebabkan kematian dan kecederaan pada Tahun Baru Cina 2020.

Ketika berucap di pelancaran Op Selamat Kebangsaan Sempena Tahun Baru Cina 2020, Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata jumlah ketiga-tiga kategori kes kemalangan itu telah menurun 16 peratus pada tahun lalu.

“Dalam masa seminggu ni kita kumpul (jumlah kes), minggu depan dan minggu seterusnya kita kumpul, kita jumlahkan dua minggu, dan kita akan bagi semua maklumat,” kata Mohammad Hamdan ketika ditanya bila jumlah itu akan diketahui.

Berdasarkan statistik, Jabatan Bomba telah menerima 3,018 panggilan berhubung insiden kebakaran untuk tahun 2019, berbanding 3,465 pada tahun sebelumnya.

Selain itu, Bomba turut menerima 2,380 panggilan penyelamatan dan 317 panggilan berkaitan kemalangan jalan raya, berbanding 1,883 dan 328 pada tahun sebelumnya.

Dalam Op Selamat musim perayaan tahun ini, seramai 10 orang pegawai, satu jentera bomba dan satu jentera EMRS lengkap dengan peralatan pemadaman dan menyelamat diagihkan di lokasi yang ditetapkan sepanjang Op Selamat dikuatkuasakan.

“Kita telah bekukan cuti dimana 20 peratus cuti dibenarkan, sementara 80 peratus akan bertugas di sepanjang tempoh musim perayaan iaitu satu minggu sebelum, dan satu minggu selepas Tahun Baru Cina yang bermula 24 Januari,” kata Mohammad Hamdan lagi.

Antara 15 lokasi penempatan Emergency Response Team (ERT) untuk tugas bersedia di lebuhraya sepanjang musim perayaan termasuk Plaza Tol Sg Dua (Selatan) di Pulau Pinang, Plaza Tol Rawang KM 444 (Selatan) di Selangor, dan Plaza Tol Bukit Gambir KM 157 (Utara) di Johor.

Op Selamat 16/2020 dilancarkan pada 18 Jan sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan akan diteruskan sehingga 1 Feb ini, dengan kerjasama JBPM, PDRM serta agensi-agensi kerajaan dan PLUS.