Bomba terima 302 panggilan kecemasan setiap hari

Bomba terima 302 panggilan kecemasan setiap hari
Bertemakan 'Bomba Tonggak Penyelamat Negara' sambutan Hari Bomba Sedunia diadakan bagi menghargai pengorbanan dan sumbangan anggota bomba yang mempertarungkan nyawa setiap waktu. - Foto Astro AWANI/Afiezy Azaman
KUALA LUMPUR: Kepesatan pembangunan, diiringi tahap kependudukan yang tinggi negara ini telah memberi kesan signifikan kepada indeks risiko kebakaran, bencana dan kemalangan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 302 panggilan kecemasan setiap hari di seluruh negara.

"Tahun 2018 mencatatkan sebanyak 110,150 keseluruhan panggilan kecemasan dalam negara dan 97 kes kematian akibat kebakaran direkodkan.
"Tafsiran kerugian dan kemusnahan harta benda pada tahun 2018 pula adalah sebanyak RM3.3 bilion penurunan sebanyak 36 peratus berbanding RM5.2 bilion pada tahun 2017," katanya dalam sembah ucapan ketika sambutan Hari Bomba Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019, di Dataran Merdeka, pada Sabtu.

Pada Majlis itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat merasmikan majlis sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka, pada Sabtu.

Sejurus tiba kira-kira 9 pagi, Yang di-Pertuan Agong menerima tabik hormat dan menyaksikan perarakan perbarisan oleh 35 kontinjen dengan 79 unit jentera melibatkan lebih 1, 551 orang peserta.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) berkenan memberi tabik hormat ketika mencemar duli berangkat hadir pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 yang bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’ di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama

Bertemakan 'Bomba Tonggak Penyelamat Negara' sambutan Hari Bomba Sedunia diadakan bagi menghargai pengorbanan dan sumbangan anggota bomba yang mempertarungkan nyawa di setiap saat dan waktu demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat daripada musibah bencana.

Sementara itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata beliau menekankan pembinaan lebih banyak balai bomba bagi memastikan 'response time' untuk pasukan sampai ke lokasi kurang daripada 10 minit.

"Ketika ini, sebanyak 308 balai bomba telah beroperasi seluruh negara dan beberapa buah lagi balai bomba sedang di dalam proses pembinaan.

"Dalam pada itu, saya yakin JBPM mampu menerajui teknologi penyelidikan, pengkajian, pembangunan industri kebombaan dan keselamatan kebakaran sekaligus melopori pelbagai kelengkapan pengujian yang moden serta diiktiraf di peringkat antarabangsa," jelas beliau.

Tag: Yang di-Pertuan Agong, Dataran Merdeka, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM, Malaysia, Zuraida Kamarudin, Hari Bomba Sedunia


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.