Berita baik untuk penjawat awam Melaka!

Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1,000 untuk setiap seorang daripada lebih 5,000 kakitangan awam negeri ini sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Menterinya, Adly Zahari memaklumkan ia akan dibayar dalam masa terdekat memandangkan tinggal kurang 10 hari lagi untuk rakyat membuat persiapan menjelang 1 Syawal pada 15 Jun ini.

"Insya-Allah, RM1,000 sebelum Aidilfitri," umumnya ringkas ketika ditemui dalam program moreh bersama rakyat di Dataran Keris, Alor Gajah yang turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

Selain itu, Adly juga mengumumkan bahawa kediaman Ketua Menteri di Seri Bendahara, Ayer Keroh selepas ini akan dijadikan produk pelancongan terbaharu negeri itu.

Ia memandangkan sehingga kini kira-kira 10,000 pengunjung telah membanjiri lokasi tersebut termasuk rombongan pelancong dari China selepas kompleks tersebut dibuka kepada orang awam susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Melaka.

Sementara beliau dan keluarga selesa menetap di kediaman rasmi Ketua Menteri yang lama di Bukit Peringgit.