PASARAN saham selalunya adalah yang paling awal bertindak balas terhadap sebarang perkembangan besar dalam dunia politik.

Fenomena ini sekali lagi dapat disaksikan di Britain selepas pengumuman bahawa Boris Johnson dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) baharu negara itu.

Bekas Datuk Bandar London itu menjadi Perdana Menteri Britain yang ke-77 dalam keadaan Britain sedang bersedia untuk keluar daripada kerjasama ekonomi dan politik Kesatuan Eropah (EU) dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi.

Inilah antara detik paling genting kepada pelabur-pelabur saham yang sedang menunggu isyarat terbaik sama ada untuk memilih saham yang didagangkan di pasaran Britain atau menarik pelaburan mereka keluar dari negara itu.

Bagaimana pelantikan Johnson boleh memberikan isyarat untuk membeli atau menjual saham Britain?

Di sinilah seni politik, perniagaan dan pelaburan bertemu dan disulam bersama. Ketiga-tiga komponen ini, jika bijak diduga oleh seseorang pelabur, mampu memberikan pulangan berlipat kali ganda.

Akibat pungutan suara, badan binasa

Dahulu, Britain merupakan antara pilihan utama pelabur kerana kepelbagaian saham yang didagangkan di negara itu serta keteguhan ekonominya dan jaringan meluas di pasaran Eropah.

Bagaimanapun, pasaran Britain mula menjadi tidak menentu sejak negara itu membuat pungutan suara untuk meninggalkan EU pada pertengahan 2016 sehingga mengheret Britain ke dalam salah satu krisis politik terburuk yang pernah dilaluinya.

Krisis yang dinamakan sebagai Brexit itu melumpuhkan pasaran Britain yang sebelum ini dianggap sebagai kuasa besar ekonomi Eropah.

Semasa Johnson mengambil alih No.10 Downing Street pada 24 Julai lalu, pasaran Britain merupakan antara paling tidak popular dalam kalangan pengurus dana.

Saham-saham yang menumpukan kepada pasaran domestik juga tidak menjadi pilihan pelabur akibat ketidaktentuan politik di negara tersebut.

Johnson pula memiliki reputasi sebagai pemimpin yang bukan konvensional jadi agak sukar untuk dijangka apa kesan pelantikan beliau sebagai pemimpin nombor 1 kepada landskap ekonomi dan politik Britain.

Johnson adalah jelmaan Trump?

Persamaan antara Johnson dan Presiden Amerika Donald Trump bukan sekadar warna atau gaya rambut mereka yang lain daripada lain.

Sebaliknya, kedua-dua pemimpin itu dikenali sebagai figura yang sukar diramal dan penuh kontroversi.

Ada pemerhati politik yang berpendapat pelantikan Johnson mungkin memburukkan lagi keadaan ekonomi di negara itu kerana beliau diketahui menyokong penuh untuk Britain keluar daripada EU sama ada dengan cara lembut atau kasar.

Tetapi, mungkin juga Johnson boleh membuat silap mata dan merancakkan pasaran saham di negara itu sekiranya beliau memenuhi janji yang dibuatnya semasa berkempen untuk menjadi PM.

Ini bukanlah sesuatu yang mustahil atau mengejutkan, memandangkan Trump juga mampu menaikkan dan mengekalkan kerancakan pasaran saham AS di sebalik retoriknya yang berpanjangan.

Kemungkinan bagi pasaran Britain untuk pulih telah pun dilihat apabila nilai mata wang pound meningkat pada hari pertama Johnson diumumkan sebagai Perdana Menteri.

Ini disebabkan beliau menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian Brexit yang baharu dan lebih baik akan dapat dimuktamadkan dalam tempoh 99 hari lagi sebelum tarikh akhir yang diberikan oleh EU pada 31 Oktober 2019.

Pelabur yang menjadi pemerhati selama ini hanya menunggu masa untuk memasuki pasaran Britain. Apa yang mereka perlukan adalah kestabilan politik dan kepimpinan yang boleh diyakini. Johnson mungkin dapat memberikan mereka keyakinan itu melalui keberaniannya.

Britain destinasi pelaburan jangka panjang

Seperti yang telah dilihat di banyak negara sebelum ini, individu berpersonaliti luar biasa yang dipilih sebagai PM atau Presiden – Trump, Duterte di Filipina, Xi Jinping di China – di sebalik retorik mereka akhirnya akan tetap menuruti resam sebagai pemimpin negara dengan memenuhi kemahuan rakan dagang atau komuniti antarabangsa dalam membuat keputusan.

Perkara sama dijangka berlaku di Britain. Walaupun Johnson menegaskan negara itu akan tetap keluar daripada EU sama ada dengan perjanjian atau tanpa sebarang perjanjian, ramai pemerhati berpendapat rundingan antara kedua pihak itu akan diteruskan dan tarikh akhir untuk mencapai persetujuan akan ditangguhkan sekali lagi bagi menjaga kepentingan Britain.

Ini kerana jika Britain tidak mencapai persetujuan untuk Brexit, ekonomi Britain diramalkan mengecut sehingga 9.3%.

Pada masa ini, pakar pelaburan berpendapat bahawa nilai mata wang pound dan saham domestik akan berada di bawah tekanan dalam jangka masa pendek namun dalam tempoh yang panjang, kepimpinan Johnson diramal akan memberikan kesan baik kepada Britain.

Ini kerana Johnson telah pun memberikan isyarat bahawa beliau akan melonggarkan sedikit dasar fiskal, membuat potongan cukai dan meningkatkan perbelanjaan awam. Ini merupakan ramuan penting untuk pasaran saham yang sihat, sekali gus memberikan impak positif kepada perniagaan, pendapatan syarikat serta harga saham.

Tetapi ini hanya boleh berlaku jika Brexit dikemudikan dengan berhati-hati untuk membolehkan Johnson melaksanakan pelan ekonomi jangka panjang.

Peluang terbaik untuk melabur

Benar, Britain kini berada dalam keadaan huru hara dari segi dasar ekonomi kerana terlalu banyak masa terpaksa dihabiskan untuk merunding Brexit.

Namun di sebalik kesuraman ini, adakah detik hitam Brexit akan menjadi titik perubahan pasaran saham Britain?

Mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi pelabur akan melihat semula detik ini dan menyedari bahawa ia adalah peluang terbaik untuk melabur dalam pasaran saham Britain yang masih ‘dihuni’ oleh saham-saham terbesar di dunia.

Ini kerana dalam sejarah pelaburan dunia, tiada walau sedetik pun tempoh yang tidak sesuai untuk melabur.

Sebaliknya, pelabur perlu bijak mencari di mana mereka perlu melabur walau dalam keadaan kegawatan sekali pun kerana setiap kitaran ekonomi memberikan peluang pelaburan yang berbeza.

Adakah saham-saham di Britain akan mengikut jejak saham-saham di Amerika Syarikat? Adakah saham-saham di Britain yang dahulu yang suram akan membuat comeback bagi merancakkan lagi peluang pelabur?

Kita tunggu dan lihat adakah mempunyai peluang atau hilang wang? Untuk orang yang mempunyai ilmu, mereka tahu setiap krisis akan adanya peluang besar untuk mereka melabur.

Jika anda ingin tahu bagaimana untuk menghidu peluang dan memburu saham-saham monster ini yang naik 10 kali ganda dalam masa beberap tahun untuk anda laburkan, jangan tunggu lagi apa kata anda belajar sendiri dengan mendaftar di www.menangsaham.com di lokasi yang terpilih.

Jangan lupa juga untuk menonton dan menyokong talk show Menang Saham Bersama DDNK musim ke-2 pada setiap Isnin di saluran 501 Astro Awani.


* Datuk Dr Nazri Khan (DDNK) adalah hos Program Menang Saham Bersama DDNK yang disiarkan Astro AWANI dan merupakan pemerhati prestasi saham tempatan dan antarabangsa.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.