Bagi meraikan komuniti sukan digital di Sabah, Puncak Niaga Maju (PNM) Ideas dengan kerjasama Gamesbond telah mengadakan acara e-Sukan terbesar di negeri itu melalui penganjuran Kejohanan Borneo e-Arena.

Pengurus Besar PNM Ideas Muhamad Arif Omar berkata kejohanan ini mampu melonjakkan industri e-sukan di Sabah di samping memberi pendedahan kepada pemain-pemain sukan digital di Sabah.

“Umum mengetahui ada ramai pemain e-sukan di Sabah dan mereka sangat berbakat. Jadi, kami mahu adakan satu platform kepada mereka, untuk tonjolkan bakat mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Centre Point, di sini.

Jelasnya, kejohanan ini juga bertujuan memberi pendedahan buat pemain e-sukan di negeri ini kepada kejohanan e-sukan profesional yang turut disertai pemain dari luar negara seperti Indonesia, Sudan, Zimbabwe, Brunei dan Singapura.

Kejohanan Borneo e-Arena menampilkan lima permainan video yang digemari peminat e-sukan, iaitu Dota 2, CS:GO, FIFA 17, Tekken 7, dan Mobile Legends.

Menurut Arif, permainan Mobile Legends menawarkan hadiah wang terkumpul paling tinggi berbanding yang permainan lain iaitu sebanyak RM35,000.

“Mobile Legends merupakan sebuah permainan video mudah alih yang baharu namun ia mampu menarik jumlah pemain yang ramai, terutama di Sabah.

“Jadi kami menyifatkan kejohanan ini merupakan adalah waktu yang terbaik untuk mengetengahkan Mobile Legends sebagai sebahagian daripada acara pertandingan,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak sempat meluangkan masa bersama lebih 2,000 pengunjung di sini.

Borneo e-Arena peringkat akhir yang berlangsung dua hari mulai hari ini menawarkan hadiah wang terkumpul keseluruhan bernilai RM150,000.

Kejohanan ini mendapat sokongan daripada kerajaan negeri Sabah dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.