BrandLaureatte menafikan dakwaan Parti Amanah Negara (Amanah) Perak bahawa Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama Pembangunan Negara BrandLaureate - Anugerah Ikon Pencetus Perubahan yang diterima Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah dibeli.

Presidennya Dr KK Johan berkata, kenyataan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi, adalah menghina dan memfitnah integriti Anugerah BrandLaurette itu sendiri.

Beliau menegaskan, Anugerah Game Changer Icon (Ikon Pencetus Perubahan) bukan boleh dibeli dengan nilai wang ringgit dan setiap penerima diiktiraf berdasarkan keputusan merit dan pencapaian masing-masing.

“Kami ingin permohonan maaf dikemukakan untuk perkara ini, kalau ia tidak dilaksanakan, kami akan menggunakan hak perundangan untuk menuntut ganti rugi atas kecelaan reputasi dan integriti kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

KK Johan berkata, keputusan mengiktiraf anugerah kepada Zambry dibuat berdasarkan pencapaiannya sebagai pemimpin negeri serta sumbangannya terhadap pembangunan dan kemajuan Perak dan Malaysia.

“Sebagai sebuah asas penjenamaan, misi kami adalah untuk mempromosikan jenama dan penjenamaan, sebagai komponen penting dalam kemajuan dan pembangunan setiap negara dan organisasi, “ katanya.

Pada satu sidang media Selasa, Asmuni mendakwa anugerah Game Changer Icon yang diberikan kepada Zambry pada 28 Ogos lalu adalah hasil daripada pembayaran oleh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak.

Dakwanya, MB Inc membayar RM381,113.86 untuk “membeli” anugerah itu, sambil menambah, pihaknya mempunyai bukti dalam bentuk resit bayaran yang dibuat kepada BrandLaureatte.

Asmuni berkata, Amanah juga akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan selanjutnya dapat diambil.