Kerajaan Brunei Darussalam telah mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaan caj keluar dan masuk ke negara itu sehingga 1 Oktober 2020 berikutan permintaan daripada kerajaan negeri Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata beliau telah mengutus surat kepada kerajaan Brunei baru-baru ini meminta pelaksanaan caj itu, yang sepatutnya bermula Sabtu, ditangguhkan.

"Saya telah memohon supaya kerajaan Brunei Darussalam membincangkan (perkara ini) secara mendalam serta mengambil kira perkara-perkara tertentu (dalam melaksanakan caj kemasukan itu).

"Kita amat menghargai dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Brunei Darussalam kerana mereka telah menangguhkan bayaran keluar masuk ini," katanya di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Brunei pada 9 Julai lepas mengumumkan untuk mengenakan caj sebanyak B$3 (kira-kira RM9.18) ke atas setiap individu yang keluar masuk ke negara itu melalui pos kawalan sempadan daratnya bermula 1 Ogos.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei dalam satu kenyataan menyebut caj itu dikuatkuasakan di bawah Perintah Bayaran-Bayaran Keluar dan Masuk 2020 yang memberi kuasa kepada Pengawal Kastam dan Eksais Diraja negara itu berbuat demikian.

"Objektif utama pelaksanaan caj ini adalah untuk menyelaraskan bayaran dan caj yang telah dikenakan dan berjalan pada masa ini kepada orang ramai yang keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui udara dan laut," demikian menurut kenyataan itu.

Caj itu akan dikenakan kepada semua warganegara, termasuk warganegara Brunei, yang ingin keluar dari atau masuk ke negara tersebut melalui pos kawalan darat sama ada menggunakan kenderaan atau berjalan kaki.

Bagaimanapun, caj itu dikecualikan bagi individu yang berada di dalam kenderaan milik kerajaan Brunei dan negara luar untuk tujuan rasmi, kenderaan pengebumian, petugas konsulat, petugas kerajaan Brunei yang menjalankan tugas rasmi dan kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah.

Menurut kementerian itu, mereka yang berhasrat melakukan perjalanan keluar dari atau masuk ke Brunei melalui pos kawalan darat hendaklah mendaftar secara dalam talian menerusi Sistem Keluar dan Masuk (EES) Jabatan Kastam dan Eksais Diraja negara itu menerusi https://login.bdnsw.gov.bn/ees.

-- BERNAMA