Bank Simpanan Nasional (BSN) memansuhkan kadar faedah dua peratus kepada kosong peratus bagi BSN Micro/i Kredit Prihatin untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang terjejas oleh wabak COVID-19.

Ketua Eksekutif BSN Datuk Yunos Abd Ghani berkata langkah itu untuk menyokong inisiatif dan keprihatinan kerajaan yang telah menyediakan pakej prihatin PKS tambahan sebanyak RM10 bilion dan diharapkan dapat terus membantu meringankan beban kewangan PKS.

"Sebagai antara industri yang menyumbang dengan signifikan kepada ekonomi negara, BSN berharap PKS dapat menggunakan peluang ini untuk kekal mampan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang melanda ketika ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata di bawah BSN Micro/i Kredit Prihatin, sebanyak RM75,000 amaun pembiayaan maksimum disediakan bagi setiap usahawan mikro dalam pelbagai segmen dengan tempoh pinjaman atau pembiayaan antara satu hingga 5.5 tahun.

Katanya BSN telah menetapkan beberapa syarat kelayakan untuk memohon BSN Micro/i Kredit Prihatin iaitu usahawan mikro yang perniagaan mereka terjejas akibat wabak COVID-19; perusahaan Mikro (milikan tunggal, Perkongsian atau Syarikat Sdn. Bhd); perusahaan mestilah dimiliki oleh warganegara Malaysia; perniagaan dijalankan secara sepenuh atau separuh masa dan perniagaan telah beroperasi tidak kurang daripada enam bulan.

Katanya PKS yang ingin memohon perlu melayari laman Facebook BSN untuk menyemak senarai maklumat Pegawai BSN yang berhampiran untuk dihubungi.

"Selain itu, semak juga dokumen-dokumen yang diperlukan untuk permohonan seperti sijil pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan kad pengenalan semua pengarah, pemilik tunggal atau rakan kongsi, penyata akaun bank untuk tiga bulan terkini dan lain-lain dokumen sekiranya diperlukan," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai dan pelanggan bahawa permohonan perlu dilakukan melalui BSN sahaja, serta sentiasa berwaspada dengan pihak yang cuba menipu dengan menyamar sebagai Pegawai BSN. - BERNAMA