Buang barang sampai orang mati, kita jangan buta mata dan hati!

Buang barang sampai orang mati, kita jangan buta mata dan hati!
Mangsa dihempap kerusi maut di tempat kejadian
SATU tindakan tegas perlu diambil mengikut segala peruntukkan undang - undang terhadap mana - mana pihak yang membuang barang sesuka hati mereka dari bangunan bertingkat.

Ini susulan kematian yang melibatkan seorang remaja lelaki selepas ditimpa kerusi yang dicampak dari tingkat atas PPR Seri Pantai, Kuala Lumpur.

Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana tindakan membuang apa - apa barangan dari bangunan boleh membawa kecederaan parah serta kematian kepada pihak mangsa.

Oleh yang demikian, pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama pihak polis perlu bekerjasama untuk memberi penerangan kepada penduduk dan penghuni bangunan bertingkat supaya menghormati undang - undang dan peraturan.
Para penduduk dan penghuni bangunan bertingkat perlu didedahkan kepada segala jenis peruntukkan undang - undang mengenai perkara ini serta hukuman yang sedia menanti diri mereka sekiranya mereka melangar mana - mana peruntukkan undang - undang.

Bagi mengelakkan perkara sebegini daripada berlaku beberapa langkah proaktif boleh juga diberi pertimbangan untuk diambil seperti memasang jeriji disetiap bangunan bertingkat kecuali dipintu - pintu masuk, keluar serta di pintu kecemasan, menyediakan lebih banyak laluan khas untuk para pejalan kaki yang mempunyai bumbung serta yang lebih selamat di mana - mana bangunan bertingkat dan lain - lain lagi.

Poster - poster serta notis yang memberi peringatan keras terhadap semua penduduk dan penghuni bangunan supaya tidak membuang sebarang jenis barangan dari bangunan perlu diberikan kepada setiap penduduk serta penghuni bangunan bertingkat.

Tindakkan yang keras juga perlu diambil terhadap mana - mana ibu bapa atau penjaga yang didapati gagal atau cuai menjaga anak - anak mereka yang didapati membuang sebarang barang dari bangunan bertingkat.

Isu ini tidak boleh dipandang ringan oleh mana - mana pihak dalam negara kita. Semua pihak perlu membuka mata dan minda mereka supaya isu sebegini tidak berlaku dalam negara kita demi keselamatan semua pihak.



*Artikel ini ditulis oleh Dr. Muzaffar Syah Mallow. Beliau adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

*Artikel ini merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili pendirian mahu pun pandangan Astro AWANI.