Bubar JAKIM: Kenyataan Tawfik, kurang sopan dan tidak beradab - Perkasa

Bubar JAKIM: Kenyataan Tawfik, kurang sopan dan tidak beradab - Perkasa
Perkasa mengingatkan Tawfik (gambar) yang juga anak bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman agar segera memohon maaf kerana mempertikaikan kewujudan JAKIM. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan desakan oleh Tawfik Ismail agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dibubarkan sebagai kurang sopan dan tidak beradab.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr Amini Amir Abdullah dengan tegas mengingatkan Tawfik yang juga anak bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman agar segera memohon maaf kerana mempertikaikan kewujudan JAKIM, bagi mengelak implikasi yang negatif kepada beliau.

"Perkasa menggesa agar Tawfik Ismail segera memohon maaf kepada JAKIM dan umat Islam agar tidak berlaku implikasi yang negatif kepada beliau," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, penubuhan JAKIM adalah selari dengan aspirasi dan peruntukan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Perkara 1(4),  Perkara 12(2), Perkara 121(1A) dan ikrar Yang DiPertuan Agong mengikut Perkara 37(1) memanifestasikan bahawa pihak kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk menubuhkan, mengurus dan memberikan dana kepada mana-mana institusi berkaitan Islam.

Dr Amini berkata, peruntukan mengenai Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Persekutuan semestinya memanfaatkan umat Islam dan memberikan kelebihan kepada agama Islam sebagai agama rasmi manakala Yang Dipertuan Agong adalah ketua agama negara dan para Sultan adalah ketua agama bagi negeri negeri mereka.

"Dengan tegas, Perkasa ingin menyatakan bahawa Islam mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia sentiasa terpelihara.

"Apabila peranan JAKIM sebagai institusi agama yang paling berautoriti dalam negara ini dipertikaikan, maka ia adalah satu tindakan yang bertentangan dengan aspirasi negara, kerajaan yang memerintah dan umat Islam sendiri.

Tawfik, dipetik sebagai berkata kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual baru-baru ini, JAKIM perlu dibubarkan dan umat Islam di Malaysia harus dibenarkan untuk mengamalkan agama mereka sebagaimana yang mereka mahukan