Budak 10 tahun mati dipercayai didera ibu sendiri

Budak 10 tahun mati dipercayai didera ibu sendiri
Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang meninggal dunia dipercayai didera ibu kandungnya sendiri. -Astro AWANI
KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia dipercayai didera ibu kandungnya di rumah mereka di Permatang Badak, di sini, semalam. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata suspek berusia 29 tahun itu membuat panggilan kecemasan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Isnin.

"Ibu mangsa memaklumkan anak lelakinya tidak sedarkan diri di rumah. Apabila pegawai perubatan sampai mendapati kanak-kanak itu tidak sedarkan diri. 
 
"Pegawai perubatan cuba memberi bantuan pernafasan namun gagal sebelum kanak-kanak itu dibawa ke HTAA.

"Sebaik tiba di HTAA, mangsa disahkan meninggal dunia," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Kecermelangan Kor Kadet Polis Pahang 2018, di sini, hari ini. 
 
Beliau berkata hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa anggota badan mangsa sebelum pihak HTAA membuat laporan polis pada jam 3.48 petang.
 
"Selepas mendapat maklumat mengenai kejadian itu, kita menahan ibu kandung mangsa di HTAA. Kita akan reman suspek pada hari ini bagi membantu siasatan," katanya. 
 
Beliau berkata berdasarkan kesan kecederaan, polis tidak menolak kemungkinan mangsa pernah didera dan siasatan awal mendapati mangsa ialah anak sulung suspek.
 
"Proses bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengetahui punca sebenar kematiannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.