Bapa tiri kepada kanak-kanak yang ditemukan tidak sedarkan diri dengan leher dirantai pada tong gas di sebuah rumah Indera Mahkota, di sini Khamis lalu dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nayan berkata, suspek yang direman bagi membantu siasatan sejak Jumaat lalu dibebaskan selepas tempoh tahanan reman berakhir hari ini.

Katanya, permohonan reman pertama dibuat terhadap suspek yang bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang, dekat sini pada 6 Oktober lalu sehingga 9 Oktober sebelum kita memperoleh perintah sambungan tahanan reman sehingga hari ini.

"Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2016 dan kertas siasatan sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat Timbalan Pendakwaraya.

Dalam kejadian pada 5 Oktober lalu, mangsa berusia 10 tahun ditemukan dalam keadaan leher dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota dekat sini oleh bapa tirinya dipercayai kerana tidak tahan dengan kedegilan kanak-kanak itu yang enggan ke sekolah.

Perbuatan bapa tiri berusia 35 tahun itu terbongkar apabila sepasukan anggota polis melakukan pemeriksaan di rumah tersebut selepas menerima maklumat awam kira-kira pukul 10 pagi.

Kanak-kanak itu tidak sedarkan diri ketika polis memasuki rumah berkenaan dan pihak polis menghubungi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan lanjut.

Semalam, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, di sini memutuskan hak penjagaan sementara selama sebulan diberikan kepada bapa kandungnya yang kini menetap di Melaka.