Budak sekolah Tahun 4 'kantoi' guna wang belanja beli dadah

Budak sekolah Tahun 4 'kantoi' guna wang belanja beli dadah
Sewaktu Astro AWANI mengunjungi keluarga terbabit, hanya tinggal dua beradik di kediaman keluarga mereka manakala adik beradik yang lain ditahan AADK dan melarikan diri. - Foto Astro AWANI
POKOK SENA: Seorang abang tidak menyangka wang saku yang dibekalkan untuk adiknya ke sekolah sanggup digunakan untuk membeli dadah.

Semuanya terbongkar apabila murid Tahun 4 itu didapat positif ujian dadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Saya tidak menyangka duit saku diberi untuk belanja makan di sekolah adik sanggup simpan dan gunakan untuk beli dadah.

"Dia baru berusia 10 tahun namun segalanya mengejutkan saya apabila dia positif dadah apabila Agensi Antidadah Kebangsaan Kedah melakukan pemeriksaan air kencing," katanya yang ditemui Astro AWANI di sini.
Tabiat buruk itu katanya dipercayai bermula apabila tujuh beradik itu tinggal bersendirian selepas kematian ibu dan bapa mereka.

Dia yang juga abang sulung murid terbabit amat terkejut sebaik dimaklumkan kesemua adik-adiknya terlibat dengan penyalahgunaan dadah..

Kesemua mereka yang berusia dari 10 hingga 30 tahun tinggal di Perumahan Keda, Kampung Bukit dekat Pokok Sena, positif dadah jenis syabu.

"Dia maklumkan dia berkawan dengan orang yang dewasa daripada dia, dia tidak boleh cakap sebab dia semua berkawan, lepas itu dia pekena dadah. Bila tidak ada duit, orang tidak bagi dadah dia kata kena cari duit.

"Ada ketikanya minta dari saya. Saya bagi seringgit, dua bagi belanja sekolah. Saya ingatkan dia beli makanan, tidak sangka pula dia beli dadah," katanya yang enggan dikenali.
 
Sewaktu Astro AWANI mengunjungi keluarga terbabit, hanya tinggal dua beradik di kediaman keluarga mereka manakala adik beradik yang lain ditahan AADK dan melarikan diri.

Malah menurut abang kelima adiknya itu terjebak dengan dadah setelah kematian ibu dan ayah mereka sejak empat tahun lalu..

Dia yang juga seorang penagih tidak pernah melarang adiknya itu mengambil dadah..

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang turut hadir meminta agensi bertanggungjawab Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) segera melakukan tindakan pemulihan sewajarnya terhadap tujuh beradik ini.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu membantu dengan memberi khidmat kaunseling serta memberi peluang kepada mereka untuk mengubah haluan hidup dengan cara belajar bidang kemahiran.