Budaya bisnes masyarakat Cina wajar dicontohi usahawan muslim

Budaya bisnes masyarakat Cina wajar dicontohi usahawan muslim
BAGI kaum Cina, tahun baharu membawa signifikan yang cukup bermakna sebagai permulaan dalam nasib kehidupan mereka. - Gambar hiasan
SABAN tahun masyarakat majmuk di Malaysia bertuah kerana dapat sama-sama meraikan dan bercuti rehat sempena musim perayaan.

Minggu ini masyarakat Tionghua di Malaysia menyambut Tahun Baharu Cina yang merupakan perayaan terpenting kaum Cina dalam kalendar qamari Cina.

Lebih unik kitaran takwim Cina ini adalah berasaskan kitaran 12 tahun yang diwakili dua belas ekor haiwan yang melambangkan 12 jenis personaliti berbeza, bermula dengan tikus dan berakhir dengan babi.

Menariknya tahun 2019 adalah sambutan tahun terakhir dalam kitaran itu iaitu Tahun Babi.

Sudah menjadi kelaziman dalam budaya masyarakat Islam Malaysia bahawa babi bukan sahaja haiwan yang haram disentuh dan dimakan dari sudut syariat Islam malah turut menjadi sensitiviti kaum; hatta memberi gelaran ‘babi’ sewenang-wenangnya dan daging babi dilihat secara umum pun boleh menimbulkan kegusaran dan ketegangan.

Namun, dalam kehidupan berbilang kaum sebegini perlu ada toleransi dan semangat berjiwa besar dikalangan umat Islam untuk melihat Tahun Babi ini sebahagian daripada simbolik budaya perayaan kaum Cina dan bukan polemik yang harus diperbesarkan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menegaskan bahawa sebarang  lambang haiwan dalam takwim Cina tidak perlu dijadikan isu.

Ini adalah selaras dengan “fiqh ta’ayush” atau kebersamaan dalam masyarakat majmuk yang telah hidup bersama sekian lama.
Apa yang lebih utama perlu dihayati oleh umat Islam Malaysia secara keseluruhan adalah hikmah penciptaan haiwan ini sebagai satu ujian daripada Allah untuk menilai diri kita sebagai hambaNya sama ada akan sami’naa wa atho’naa, yaitu kami mendengar dan kami taat akan segala suruhanMu dan meninggalkan segala laranganMu.

Kaum Tionghua sangat dikenali dengan semangat juang dan budaya kerja yang kuat dalam perniagaan. Ini turut dimanifestasi ketika sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Bagi kaum Cina, tahun baharu membawa signifikan yang cukup bermakna sebagai permulaan dalam nasib kehidupan mereka. Orang Cina akan hanya bercuti rehat dan meraih pulangan ketika tahun baharu.

Selebihnya, dalam tempoh setahun lalu dan akan datang akan digunakan sepenuhnya dengan bekerja keras dan berniaga tanpa kenal erti penat lelah.

Budaya sebegini seharusnya terdidik dan dicontohi oleh umat Islam terutama para usahawan muslim.

Untuk dihormati, disegani dan paling penting diberkati dalam perniagaan, usahawan muslim jangan sekadar berniaga separuh hati.

Usahawan muslim mesti yakin dengan perancangan bisnes mereka dan gigih berusaha pada setiap tahun untuk menjayakan bisnes mengikut ketertiban muamalah Islam.

Kejayaan bisnes usahawan muslim pada tahun tersebut apabila telah cukup haul dan nisab dikongsi pula dengan lebih ramai golongan melalui kewajipan zakat perniagaan dan sumbangan jariah waqaf bagi memenuhi fitrah kehidupan sebagai hamba yang taat dan khalifah yang memberi manfaat.

Sewaktu sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, antara budaya yang sering diamalkan adalah membawa buah tangan ketika menziarahi dan budaya memberi dan berbalas angpau dalam kalangan ahli keluarga yang bujang.

Jelas di dalam masyarakat Tionghua, budaya memberi sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) juga seringkali menerima ‘tempias’ atas pemberian buah tangan bilamana salah seorang ahli Majlis Tertinggi DPIM, Puan Karimah Koh Siow Kien sering menghadiahkan tetamu dan rakan-rakan dalam DPIM pelbagai produk perniagaan usahawan setiapkali berjumpa samada atas urusan rasmi mahupun peribadi.

Bagi beliau, budaya memberi telah sebati dalam diri dan sebagai seorang muslim, keyakinannya utuh bahawa akan dilipatgandakan kebaikan di atas pemberian itu.

Budaya memberi dalam masyarakat Islam Malaysia harus dimurnikan dan terus menjadi sebahagian amalan  dalam kehidupan usahawan muslim.

Usahawan muslim mesti menjadi contoh tauladan kepada masyarakat Islam seluruhnya bahawa dengan memberi tidak akan mengurangi harta walau sedikitpun malah inilah rahsia dalam menjemput rezeki bisnes kepada para usahawan.

Pada masa yang sama, usahawan muslim mesti berpegang dengan konsep memberi yang sebenar iaitu tidak berlebihan, tidak juga dikurangkan pemberian dan yang paling penting sentiasa memuliakan si pemberi mahupun si penerima.

Sejujurnya masih banyak budaya dan amalan masyarakat Tionghua yang  boleh diasimilasikan oleh usahawan muslim dalam menjalani kehidupan dan menjalankan perniagaan.

Amat malang bagi kita umat Islam sekiranya melihat kejayaan bisnes orang Cina bukan hasil ketekunan, kekuatan dan kebijaksanaan berniaga kaum Cina tetapi meletakkan persepsi negatif dan berprasangka buruk semata-mata.

Realitinya masih banyak kelemahan dan kekurangan dalam kalangan usahawan muslim yang perlu ditambah baik.

Jangan biarkan kejumudan membelungi para usahawan muslim dari bergerak ke hadapan.

Untuk terus maju dan lebih berdaya saing, usahawan muslim mesti berani berhijrah dengan membudayakan tabiat Islami dalam berbisnes dan pada masa yang sama menambahbaik perniagaan dengan belajar ilmu bisnes daripada rakan-rakan berketurunan Cina.

Kepada seluruh rakan masyarakat Tionghua di Malaysia diucapkan “Xin Nian Kuai Le, Wan Shi Ru Yi.”


* Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.