Tutup

Budaya muamalah Islam memperkasakan ekonomi ummah tanpa menzalimi perniagaan pihak lain

Budaya muamalah Islam memperkasakan ekonomi ummah tanpa menzalimi perniagaan pihak lain
Ketika perjanjian genjatan senjata antara Israel dan Palestin sedang dirundingkan, serangan kejam zionis Israel benar-benar membuka mata dan menyedarkan masyarakat dunia tentang hipokrasi Israel dalam isu damai Asia Barat. - Gambar hiasan
KETIKA masyarakat dunia masih dibuai kehangatan cuti perayaan Hari Krismas dan kemeriahan menyertai jualan hari boxing pada Disember 2008, rejim zionis Israel tanpa sedikit belas kemanusiaan telah membedil dan melancarkan serangan 22 hari ke atas bumi Gaza, Palestin. Serangan paling ganas dan kejam yang dikenali sebagai ‘Operation Cast Lead’ telah mengorbankan lebih 1,400 orang rakyat Palestin termasuk 300 kanak-kanak dan remaja dan mencederakan 5,000 orang yang lain serta memusnahkan banyak bangunan dan infrastruktur awam. Di dalam keadaan sekatan ekonomi dunia terhadap kerajaan HAMAS sejak tahun 2006 dan ketika perjanjian genjatan senjata antara Israel dan Palestin sedang dirundingkan, serangan kejam zionis Israel benar-benar membuka mata dan menyedarkan masyarakat dunia tentang kezaliman dan hipokrasi Israel dalam isu damai Asia Barat walaupun ada perbincangan di meja rundingan.

Kesedaran tersebut telah menggerakkan gerakan global memboikot pelbagai barangan keluaran negara-negara yang menyokong tindakan Israel menyerang Palestin. Amerika Syarikat yang diketahui adalah sekutu rapat yang menyokong Israel menjadi sasaran utama kempen boikot barangan sebagai mengutuk tindakan kejam dan biadap Israel. Ia juga adalah satu usaha menggunakan kuasa kepenggunaan melemahkan ekonomi Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa barat yang menyokong keganasan terhadap umat Islam Palestin. Di Malaysia, gerakan tersebut dinamakan ‘Kempen Boikot Produk Terpilih Yahudi’ diterajui oleh Gabungan NGO Islam (ACCIN) dan telah dilancarkan pada 7 Januari 2009. Melalui kempen tersebut, beberapa produk terpilih yang dikuasai syarikat multinasional Amerika Syarikat telah diboikot.
Gerakan kempen boikot produk terpilih di Malaysia akhirnya berjaya memberi impak kepada penurunan jualan produk syarikat multinasional terbabit. Sehinggakan ada syarikat yang terkesan dari boikot terpaksa melakukan pelbagai kempen dan iklan untuk memenangi semula hati masyarakat Malaysia yang membenci keganasan zionis Israel dan memanifestasi kebencian mereka dengan memboikot barangan tersebut. Dari episod kempen boikot ini ternyata kuasa kepenggunaan rakyat telah digunakan sebaiknya untuk memastikan segala bentuk sokongan kepada rejim Israel di’mati’kan dan membuka mata kaum pemodal (kapitalis) agar berhati-hati dalam menyokong Israel supaya tidak diboikot. Begitu kuat kuasa pengguna apabila semua bersatu dan senada dalam mencapai sesuatu matlamat. Hebat bukan!

Maju kehadapan setelah lebih 10 tahun kempen boikot produk terpilih dilaksanakan dan tidak pernah pun diputuskan satu titik pengakhiran oleh ACCIN sebagai penggerak kempen namun ternyata kuasa pengguna Malaysia seperti sudah kehilangan stim untuk meneruskannya. Kekuatan kaum pemodal mengerakkan kuasa kapitalis mereka telah berjaya melembutkan sentimen para pengguna terhadap keadilan untuk Palestin dan kembali fokus kepada keutamaan kehidupan masing-masing. Lebih mendukacitakan ketika kempen sedang hangat berlangsung tiada usaha yang giat untuk menyediakan produk alternatif dan membina ekosistem ekonomi yang berpaksikan produk tempatan. Akhirnya, kuasa pengguna telah tewas dan lambakan jenama-jenama syarikat multinasional Amerika Syarikat kembali bermaharajalela dan memenuhi segala ceruk kehidupan dan pemikiran pengguna.
Sebagai pengguna, kita tewas kerana kita memboikot hanya bermusim dan menggerakkan kempen sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ramai pengguna memboikot sekadar mengikut keadaan dan masyarakat pun turut beria-ia memboikot kerana takut terasa ketinggalan (FOMO). Walhal syarikat multinasional yang diboikot tidak pernah menghentikan sebarang usaha mempromosi dan memenangi semula hati pengguna walaupun dalam keadaan kerugian besar diboikot. Akhirnya kempen telah gagal dan inilah hakikat yang menyedihkan tentang kempen kepenggunaan di Malaysia.

Dalam suasana yang sedikit berlainan kini, dengan mengekalkan konsep dan prinsip kempen yang lebih kurang sama, ada gerakan kepenggunaan yang menyokong memperkasakan ekonomi ummah sedang giat dijalankan. Gerakan kempen ini sekali lagi menggunakan hak pengguna dengan menyatakan solidariti dan pendirian tentang satu sensitiviti dan sentimen tertentu melalui gerakan mengutamakan pembelian barangan keluaran muslim. Namun demikian, dalam usaha memperkasa ekonomi ummah secara besar-besaran sebegini adalah tidak wajar sekiranya kempen tersebut dijayakan dengan unsur emosi dan elemen sinikal sehingga me’mangsa’kan perniagaan pihak lain di Malaysia serta lari daripada natijah pengajaran dan akhlak Islam sebenar.

Budaya muamalah Islam menekankan usaha memperkasakan ekonomi ummah tanpa menzalimi perniagaan pihak lain. Islam mengajar umatnya untuk menjaga adab dan mengamalkan akhlak Islam dan tidak sesekali menzalimi agama dan perniagaan bangsa lain sehingga boleh menzahirkan permusuhan dan persepsi negatif terhadap umat Islam. Bahkan ketika Rasullullah S.A.W. berhijrah ke Madinah, Baginda tidak pernah melakukan pemboikotan ekonomi kepada Yahudi yang menguasai pasar di Madinah tetapi Baginda memecahkan monopoli Yahudi dengan mengajak para sahabatnya ikut serta dalam perniagaan dan bermuamalah secara adil tanpa paksaan sehinggakan ekonomi Madinah akhirnya dikuasai oleh kaum Muslimin. Justeru dalam mengambil semangat gagasan ‘kemakmuran bersama’, kempen mengutamakan barangan keluaran muslim wajar dan wajib mengisi segala 'lompang' pemikiran dan 'kecelaruan' emosi tentang hal dan sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi dalam pemikiran para pejuang ekonomi orang Islam di Malaysia supaya lebih jelas dan tuntas dalam strategi berfikir dan bertindak.

Sebagai dewan yang inklusif, DPIM sentiasa berpandangan positif sekiranya kempen utamakan barangan muslim ini diteruskan ianya wajar dilaksanakan dengan niat sebagai satu ibrah yang penuh kefaqihan. Kempen kepenggunaan ini harus dilihat sebagai satu usaha serampang dua mata yang mana bukan sahaja umat Islam digalakkan mengutamakan barangan muslim malah dalam masa sama turut membantu para usahawan muslim bertanggungjawab meningkatkan lagi produktiviti dan kualiti barangan dan perkhidmatan mereka sebagai alternatif kepada barangan sedia ada serta berusaha memastikan perniagaan mereka memiliki pensijilan halal JAKIM. Pada masa yang sama peniaga bukan Islam yang mengeluarkan produk halal harus juga terdidik dan difahamkan akan konsep sebenar halal dan thoyibban pada produk mereka dan tidak sekadar melihat logo halal JAKIM sebagai satu bentuk pensijilan semata-mata untuk tujuan pemasaran dan jualan.

Bagi masyarakat Islam Malaysia, sewajarnya kempen sebegini membuka mata dan menyedarkan bahawa negara ini amat memerlukan lebih ramai usahawan muslim yang proaktif terlibat bersama-sama secara berjemaah membentuk ekosistem ekonomi Islam dalam perniagaan. Sokongan masyarakat Islam bukan sahaja sebagai pengguna barangan semata-mata malah harus berjiwa besar dengan menjadi penaja dan pelabur yang membantu membina lebih ramai usahawan Islam Malaysia terutama dalam bidang-bidang yang belum diwakili orang Islam sehingga terbentuknya ekosistem dan rantaian muamalah Islam yang menyeluruh dan bersepadu.

Umat Islam Malaysia juga harus bersedia mengembleng tenaga dan mengerah segala sumber yang ada untuk memastikan kempen ini berterusan dan dapat memberi impak positif dalam perniagaan umat Islam tanpa menidakkan hak kepenggunaan dan perniagaan pihak lain. Bersama-sama kita mengambil pengajaran dari kempen boikot produk terpilih satu ketika dulu yang mana kegagalan itu bertitik tolak dari ketidakmampuan kita mengerakkan seluruh tenaga sehingga tercapai objektif kempen. Di waktu yang sama sebagai umat Islam hendaklah sentiasa berazam melaksanakan segala tindakan berdasarkan kefaqihan Ilmu yang bukan semata-mata apa yang difahami tentang isi dan hukum kitab malah kemampuan untuk mengadaptasi isi dan hukum tersebut dengan mengambil kira implikasi, mendatangkan kesan keamanan, kemaslahatan dan keadilan, serta mengelak dari kerosakan dan permusuhan yang berpanjangan diantara rakyat berlainan kepercayaan, agama dan bangsa. Semoga kempen utamakan barangan Muslim menjadi contoh kejayaan kempen kepenggunaan di Malaysia. Kepada Yang Esa kita berserah.


*Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI


Tag: GERAKAN, JAKIM, NGO, Islam, Hamas, Halal, Kempen Boikot Produk Terpilih Yahudi, boikot



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.