Keputusan kerajaan menurunkan had umur dan pendaftaran pengundi secara automatik kepada golongan muda seawal usia 18 tahun secara tidak langsung membuka peluang bagi mereka menawarkan diri berkhidmat sebagai wakil rakyat di usia muda.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ia sekali gus membuktikan kerajaan mengiktiraf peranan besar yang boleh dimainkan oleh golongan muda di negara ini.

Ini kerana, katanya, mereka adalah generasi pelapis yang akan meneruskan wawasan Malaysia pada masa akan datang.

“Peranan generasi masa kini adalah penting kerana merekalah generasi pelapis yang akan meneruskan wawasan Malaysia pada masa akan datang. Kerajaan mengiktiraf peranan besar yang boleh dimainkan oleh golongan muda di negara ini.

“Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu adalah antara langkah yang sedang diusahakan oleh kerajaan untuk membuka peluang kepada golongan muda terlibat dalam sistem demokrasi negara di usia lebih muda,” katanya malam tadi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan Banda Hilir, Melaka.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 itu bertemakan 'Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih' memilih Melaka berikutan Bandar Hilir pernah menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Februari 1956.

Turut hadir, Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, dan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Terdahulu, 16 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (Pindaan) 2019 dengan meminda perenggan (b) perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Ia juga bertujuan meminda perenggan (a) fasal 1 perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Selain itu, RUU itu juga mengandungi cadangan untuk pendaftaran warganegara secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun.