Kerajaan Johor berharap rundingan antara kerajaan Persekutuan dan Singapura mengenai pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura turut memberi keutamaan kepada mereka yang berulang alik setiap hari untuk bekerja di republik itu.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata buat masa ini rundingan kedua-dua pihak difahamkan lebih tertumpu pada kategori pertama iaitu melibatkan mereka yang berada dalam sektor profesional, perniagaan dan peribadi.

Katanya, kategori kedua pula melibatkan kira-kira 25,000 rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura ekoran penutupan sempadan sejak penularan COVID-19.

Beliau berkata keputusan membuka semula sempadan antara kedua-dua negara yang sebelum ini ditutup bagi membendung penularan COVID-19 juga dilihat boleh menyumbang kepada kerancakan sektor pelancongan Johor.

"Ini adalah satu langkah yang sangat penting kepada negeri Johor. Mungkin pada awal ini, kita (kerajaan) (membenarkan) Green Lane (kategori pertama) dan pekerja berkala melibatkan lebih 20,000 (kategori kedua) rakyat Malaysia yang berada di Singapura (supaya dapat) pulang dan pergi balik ke Singapura untuk bekerja.

"(Tetapi) Johor merasakan bahawa persetujuan Malaysia dan Singapura untuk pekerja yang berulang alik harian (melibatkan lebih 200,000) perlu disegerakan kerana itu akan dapat memberi kesan yang meluas (terhadap ekonomi)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC) di sini, pada Isnin.

Akhir bulan lepas, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata sempadan Malaysia-Singapura akan dibuka secara berperingkat bergantung kepada isu keselamatan kesihatan antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, kategori pertama dan kedua akan diberi keutamaan dalam peringkat awal pengumuman dan penyelesaian rentas sempadan dua negara itu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, rundingan pembukaan sempadan untuk kategori ketiga dan empat iaitu membabitkan jumlah di antara 200,000 hingga 250,000 orang iaitu mereka yang bekerja secara harian, akan mengambil masa kerana bersifat lebih kompleks dan akan melibatkan pembukaan sepenuhnya pintu sempadan kedua-dua negara.

-- BERNAMA