Pimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu ditukar bagi memastikan ia dapat menjalankan tugas dengan lebih baik apabila kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negara.

Demikian kata Presiden Transparency International - Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar yang turut mencadangkan agar pimpinan baharu SPRM membuka semula kes sedia ada termasuk kes 1MDB.

"Serahkan kepada SPRM yang baharu. Sebelum ini memang SPRM ada kes-kes tertentu kes-kes seperti FRC International yang mana bagi pihak SPRM mereka menyatakan bahawa mereka mempunyai bukti untuk membawa suspek ke muka pengadilan. Jadi ini kita boleh buka balik.

"Kes 1MDB, kes MARA, dan Tabung Haji itu boleh disiasat oleh badan bebas SPRM yang baharu ini, mereka akan menjalankan tugas dengan baik dan cepat sekiranya kita tidak diganggu-gugat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Jelasnya lagi, SPRM sepatutnya diberi ruang yang lebih bebas untuk menjalankan tugas dengan lebih profesional tanpa campur tangan pihak berkepentingan.

"Kita tidak perlu lagi menghabiskan masa dengan perbincangan lain, namun serahkan pada badan profesional dan bebas.

"Maka kita akan menyelamatkan negara dan institusi ini dihormati kerana disanjung masyarakat tempatan, dan luar negara," tambahnya.

Selain itu, beliau mencadangkan SPRM diletakkan di bawah Parlimen dan menjalankan siasatan semula kes sedia ada dengan membawanya ke mahkamah untuk pengadilan kepada sesiapa yang melakukan kesalahan.