Surat jemputan kepada wakil Israel sewaktu Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini bukan ditandatangani mana-mana pegawai Malaysia, tegas Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman.

Katanya lagi, surat itu ditandatangani Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan ianya selaras dengan Host Country Agreement yang ditandatangani di antara organisasi itu dan Malaysia.

“Artikel III dari Perjanjian tersebut diantaranya menyatakan, bahawa penyertaan dalam Forum itu dibuka antara lainnya kepada keseluruh keanggotaan PBB dan mana-mana Agensi Khususnya (Specialized Agencies). Host Country Agreement ini adalah syarat bagi mana-mana persidangan PBB untuk diadakan di luar mana-mana ibu pejabat PBB yang sedia ada.

“Oleh itu, tohmahan bahawa Malaysia secara senyap-senyap mewujudkan hubungan dengan Israel melalui penganjuran Forum ini adalah tidak timbul sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah berkata lagi, pendirian Malaysia terhadap Israel tetap tidak berubah, dan apa jua penyataan sebaliknya hanya sekadar membuktikan niat jahat dan berbahaya.

“Harus diingat bahawa pelbagai pihak telah menekankan bahawa WUF9 telah dikelolakan dengan jayanya. Forum ini telah berjaya meningkatkan profil Malaysia dan mempamerkan pencapaian Malaysia mempromosi, menyuara dan melaksanakan New Urban Agenda.

“Ia juga menyaksikan penyertaan lebih daripada 25,000 orang, dengan 69 negara diwakili di peringkat Menteri. Semua rakyat Malaysia harus bangga dengan kejayaan negara menganjurkan Forum yang berprestij dan penting ini,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, parti itu akan menghantar nota bantahan ke Putrajaya ekoran kehadiran wakil dari Israel sewaktu forum itu berlangsung.