Minat mendalam dalam seni tulisan sejak di bangku sekolah rendah hingga sekarang dan kejayaan dalam pelbagai pertandingan membawa seorang guru, Muhammad Anis Abdul Ghani, 40, dilantik menjadi tenaga pengajar sambilan bagi Kursus Seni Khat di Universiti Sains Malaysia (USM).

Berkongsi kisah sebagai tenaga pengajar sambilan, anak kelahiran Machang, Kelantan itu berkata, beliau mula bertugas sejak 2012 tidak pernah menyangka ada penuntut bukan Melayu dan Islam berminat dengan seni tulisan tersebut.

Katanya, setiap semester pasti ada penuntut dari bangsa lain seperti Cina dan India mengikuti kursus berkenaan.

BACA: Kerajaan tekad teruskan pengajaran tulisan khat - Tun M

BACA: Kementerian Pendidikan diminta bertegas laksana pengajaran tulisan khat - Mahfuz


"Bukan sahaja pelajar Cina dan India Malaysia tetapi pelajar dari China, India dan negara Arab turut serta. Saya pernah bertanya adakah mereka tersilap memilih kursus tetapi jawapan yang diberikan adalah mereka memang meminati seni tulisan tersebut dan mahu mempelajari sesuatu yang baharu.

"Setahun ada dua semester dan penuntut silih berganti. Apa yang membuatkan saya teruja adalah setiap semester itu akan ada pelajar daripada kaum lain mengikuti kursus yang saya ajar. Untuk semester ini saya ada 50 orang penuntut dan 10 daripada mereka adalah pelajar Cina, seorang India serta Arab," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, tiada paksaan dalam kaedah pengajaran kerana apa yang ditulis oleh penuntut tiada kaitan dengan ayat al-Quran mahupun hadis.

"Penuntut bukan Islam pastinya tidak mempunyai kefahaman berkaitan huruf-huruf jawi jadi saya akan ajar mereka huruf tunggal, huruf bersambung dan apabila mahir mereka akan menulis ayat lengkap. Ayat yang ditulis pula berkaitan peribahasa dan kata-kata semangat.

"Tidak ada penuntut yang bertanyakan jika mahu belajar seni khat adakah mereka perlu belajar tentang Islam kerana permulaan kursus saya telah jelaskan bahawa ia adalah satu cabang kesenian tulisan. Seni ini adalah untuk semua orang," katanya.

Jelasnya, apa yang menarik tentang penuntut yang mengikuti kursus itu adalah mereka menyatakan mahu mengikutinya lebih lama kerana berpendapat masa yang diperuntukkan terlalu singkat.

"Satu semester kita ada tujuh minggu, seminggu ada dua kelas dan setiap kelas adalah selama 1 jam 30 minit. Maklum balas tersebut saya dapat berdasarkan kepada borang kaji selidik yang diterima pada akhir semester.

"Apa yang ditekankan oleh saya sepanjang kelas adalah jangan rasa terbeban dan sentiasa santai. Saya berikan mereka kebebasan untuk menulis kerana seni itu memerlukan ketenangan," katanya.

Tambahnya, markah yang diberikan kepada pelajar berdasarkan kepada tugasan akhir mereka dan komitmen diberikan cukup baik.

"Pelajar bukan Melayu berjaya menyaingi markah penuntut Melayu. Markah diberikan secara adil berdasarkan hasil kerja mereka," katanya.