"Bukan mudah menulis mengenai Sudirman" - Saodah Ismail

"Bukan mudah menulis mengenai Sudirman" - Saodah Ismail
ALLAHYARHAM Sudirman Haji Arshad akan dikenang sebagai penghibur rakyat sekalipun sudah 27 tahun meninggal dunia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bagi seorang wartawan hiburan, bersahabat dengan artis terkemuka merupakan satu kelebihan kerana ramai orang yang mendambakan peluang sedemikian.

Namun, dari satu sudut pandang lain, menjadi rakan karib bintang ternama sering menjerat diri mereka antara hubungan peribadi dengan profesionalisme.

Tambah merumitkan, ada masanya seorang wartawan hiburan akan berada dalam dilema untuk bercerita hal yang jujur mengenai teman mereka yang juga selebriti disanjungi ramai.

Bagaimanapun, wartawan hiburan veteran, Saodah Ismail meletakkan garis pemisah antara hubungan karib dengan tuntutan kerjaya sepanjang mengenali penghibur tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Dalam usahanya merakamkan pengalaman peribadi dalam buku tulisannya, Sudirman Yang Ku Kenali, Saodah atau lebih mesra disapa Odah berkata, beliau sebaik mungkin cuba bercerita pengalaman yang jujur dalam naskhah berkenaan.

Menulis sejarah dan pengalaman bersahabat dengan Allahyarham Sudirman, kata bekas wartawan Berita Harian dan Harian Metro ini, menuntut dia menelesuri satu demi satu pengalaman yang dilalui mereka sekitar tahun 1981 hingga 1992.

"Saya harus akui bukan mudah menulis mengenai Sudirman. Kisahnya terlalu panjang, pengalaman dan kejayaannya terlalu banyak. Namun, saya beranikan diri menulis juga mengenai seorang sahabat dan tokoh besar dalam industri hiburan kerana Allahyarham wajar dikenang.
"Tujuan saya menulis mengenai Sudirman ialah kerana mahu masyarakat khususnya generasi muda mengenalinya dari kaca mata saya sebagai wartawan.

"Saya menulis dari hati. Saya tumpahkan segenap pengalaman dan momen yang saya ingati sepanjang bersahabat dengan Allahyarham Sudirman dalam buku ini," kata Saodah dalam majlis pelancaran buku Sudirman Yang Ku Kenali di sini pada Rabu.

SAODAH ISMAIL menunjukkan buku Sudirman Yang Ku Kenali tulisannya yang dilancarkan pada Rabu. - Gambar Astro AWANI

Buku 145 halaman itu memuatkan pengalaman persahabatan Saodah dengan penghibur rakyat yang sangat dikagumi oleh segenap lapisan masyarakat di era kegemilannya sekitar tahun 1980-an hingga awal 1990-an.

Sudirman Yang Ku Kenali yang dilancarkan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said turut memuatkan pengalaman individu-individu yang pernah hadir dalam hidup Allahyarham seperti penulis lirik tersohor, Habsah Hassan dan bekas pengurus Sudirman, Dharanee.

Tidak ketinggalan bekas setiausaha Allahyarham Sudirman iaitu Intan Zabidin serta bekas pegawai syarikat rakaman EMI, Norisah Sulaiman.

Kesemua individu ini turut bercerita mengenai keperibadian dan sisi lain mengenai Allahyarham Sudirman yang tidak diketahui umum.

Memilih melancarkan buku berkenaan dua hari sebelum 27 tahun hari kematian Sudirman, Saodah berkata, sebelum menulis Sudirman Yang Ku Kenali, beliau terlebih dahulu sudah memaklumkan pada keluarga Allahyarham mengenai hasratnya membukukan pengalaman itu.

BANYAK pengalaman menarik wartawan Saodah Ismail bersama Allahyarham Sudirman ditulis dalam buku Sudirman Yang Ku Kenali.

Bagi Saodah, hasratnya semata-mata untuk merakamkan penghargaan pada seniman yang telah banyak menyumbangkan jasa kepada industri hiburan khususnya dan negara umumnya.

Allahyarham Sudirman merupakan penghibur kesayangan ramai yang membina kemasyhuran luar biasa sekitar pertengahan tahun 1970-an sehingga awal 1990-an.

Sejurus memenangi Bintang RTM pada 1976, Sudirman melakar banyak kejayaan dalam kerjaya seninya.

Kehebatan Sudirman bukan hanya pada kerjaya seninya, bahkan Allahyarham juga dihormati kerana kecemerlangannya dalam akademik.

Allahyarham Sudirman merupakan lulusan undang-undang dari Universiti Malaya.

Banyak lagu nyanyian Allahyarham Sudirman antaranya Salam Terakhir, Merisik Khabar, Pelangi Petang, Anak Gembala, Antara Hujan dan Air Mata sehingga kini menjadi siulan ramai.

Allahyarham Sudirman meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru pada 22 Februari 1992.

BACA: Wartawan Saodah Ismail bukukan kisah Allahyarham Sudirman