Malaysia tidak berperanan mempromosikan ideologi China, sebaliknya, perlu meneliti apakah manfaatnya yang mampu diraih negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak mahu mana-mana negara mempunyai pengaruh tidak tidak wajar terhadap anak muda.

"Bukan peranan kita untuk mempromosikan ideologi China, tetapi meneliti apa manfaat yang kita boleh dapat daripadanya.

"Golongan muda perlu memahami masalah, strategi dan dasar negara sendiri terlebih dulu, justeru bila mereka berdepan dengan strategi orang lain, mereka tahu tempat mereka," ketika menjawab soalan berkaitan kontroversi komik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China oleh Hew Kuan Yau pada sesi soal jawab dalam Persidangan ISIS PRAXIS, di ibu negara pada Isnin.

Minggu lalu, terdapat dakwaan komik terbitan Kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia itu diedarkan di sekolah-sekolah di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan, kementeriannya tidak pernah memberi kebenaran terhadap pengedaran tersebut dan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah agar memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran komik itu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Malaysia sentiasa menganggap China sebagai rakan, apatah lagi ketika ini mereka memiliki banyak dasar baharu yang membawa manfaat kepada negara itu.

"Kita ingin meneruskan hubungan baik dengan China. Kita menyokong idea 'one belt, one road', tetapi kita perlu mengetahui maksud yang sebenar.

"Tanpa kajian yang wajar, kita tidak boleh beri 100 peratus sokongan kepada idea itu," ujar beliau lagi.