Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Langat Murni, Kuala Langat.

Sebaliknya, penduduk di kawasan tersebut hanya menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran.

Justeru jelas beliau sebarang aktiviti keluar masuk adalah dibenarkan di kawasan tersebut tetapi melalui prosedur yang ketat.

“Untuk PKPD, kita memagar kawasan tersebut dengan kawat berduri, dan tidak membenarkan sebarang pergerakan keluar masuk daripada kawasan PKPD.

“Di kawasan PKP pentadbiran, kita memagar juga kawasan tersebut dengan kawat berduri tetapi ada keluar masuk, di mana penduduk di dalam kawasan tersebut boleh keluar tetapi dengan pemeriksaan kesihatan dan sebagianya.

“Dari segi sairngan kesihatan seperti ujian swab dan sebagainya sama sahaja ia dilakukan kepada semua penduduk yang berada di dalam kawasan ‘lockdown’ atau PKPD tersebut,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menafikan dakwaan bahawa kerajaan tidak menguar-uarkan pelaksanaan PKP secara pentadbiran di kawasan tersebut, yang bermula malam tadi.

“Kita tak diam seribu bahasa sebenarnya. Saya sudah sebuatkan bahawa ia ada dua. Yang pertama PKPD seperti kita laksanakan di Selangor Mansion, Pasar Borong Selayang, dan sebagainya.

“Yang kedua, PKP yang dilaksanakan secara pentadbiran,” katanya.