Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengarahkan pemaju tanah kontroversi di Kampung Datuk Keramat untuk membina hanya rumah mampu milik di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pembinaan rumah mencecah sehingga setengah juta ringgit dilihat tidak mampu dimiliki penduduk Bumiputera sendiri.

"DBKL kena mengaku kesilapan mengeluarkan surat yang mahu pembinaan rumah berharga lebih RM500,000 sehingga RM2 juta di kawasan itu pada asalnya.

"Selepas ada desakan dari demonstrasi barulah harganya direndahkan. Persoalannya sekarang adakah RM500,000 itu harga mampu milik? Bukan rumah mampu milik kalau harganya setengah juta ringgit.

"DBKL kena tengok balik isu ini dan keluarkan surat meminta pemaju mengikut harga seperti yang termaktub dalam arahan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Surat asal yang diluluskan DBKL menunjukkan harga pangsapuri harga bebas di Kampung Datuk Keramat mencecah harga sehingga RM2 juta - Sumber gambar Datuk Johari Abdul Ghani


Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pembangunan sebidang tanah kontroversi di Kampung Datuk Keramat mengutamakan kediaman rumah mampu milik kepada Bumiputera.

Jelasnya, pecahan kepada pangsapuri harga bebas untuk baki pembangunan itu pula tetap memberi majoriti kepada Bumiputera.

Johari sebelum ini mahu DBKL melihat semula keperluan sebidang tanah di Kampung Datuk Keramat yang ingin dibangunkan kondominium mewah berbanding perumahan mampu milik yang mengutamakan kepentingan rakyat setempat.

Tegas Johari, isu itu semakin meragukan kerana kelulusan diberi kepada sebuah syarikat perumahan yang baharu ditubuhkan.