Polis telah menjalankan serbuan terhadap pejabat agensi media antarabangsa Al-Jazeera dan merampas beberapa peralatan.

Rampasan itu dikatakan bagi tujuan membantu siasatan berhubung terbitan sebuah dokumentari yang bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown yang mendakwa Malaysia memberi layanan buruk terhadap warga asing ketika mengawal penularan pandemik COVID-19.

Memetik laporan MalaysiaKini, serbuan tersebut dijalankan oleh beberapa anggota polis di pejabat agensi berkenaan di tingkat 27, G Tower di sini pada Selasa.

Sementara itu, peguam yang mewakili Al-Jazeera, Hisyam The Poh Teik berkata, ketika serbuan dijalankan, beberapa wakil daripada agensi media tersebut turut berada di pejabat mereka.

Difahamkan, Al-Jazeera akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Polis telah mula melakukan siasatan terhadap Al-Jazeera pada 10 Jun lalu setelah menerima beberapa aduan orang ramai berhubung terbitan dokumentari berkenaan yang mengundang kebimbangan ramai pihak.

Dokumentari yang berdurasi 25 minit yang diterbitkan di YouTube itu turut menerima kecaman oleh rakyat Malaysia yang menyatakan laporan itu agak kurang tepat berhubung layanan kerajaan Malaysia terhadap warga asing ketika pandemik COVID-19.