Dua bulan yang akan datang merupakan tempoh yang amat penting bagi pencarian pesawat MH370.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini kerana pasukan pencari pesawat itu akan meneruskan misi pencarian selepas ia ditangguhkan kerana cuaca buruk.

Liow berkata sekiranya cuaca mengizinkan, pasukan itu berharap pencarian boleh dilengkapkan menjelang Januari depan.

“Kami akan terus bekerjasama dengan China, Australia dan Malaysia untuk terus mencari sehingga kita melengkapkan 120,000 kilometer persegi. Itu adalah komitmen kami.

“Buat masa ini, pencarian ditangguhkan kerana cuaca. Kami tidak mempunyai pilihan lain tetapi untuk menangguh pencarian.

“Tetapi pencarian akan diteruskan sekarang. Kami berharap cuaca akan menjadi lebih baik dan kemudian kami berharap boleh melengkapkan pencarian menjelang Januari.

"Jadi, dua bulan akan datang ini adalah bulan yang penting bagi kita untuk meneruskan pencarian,” kata Liow dalam satu sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tsinghua, China, mengenai kerjasama antara kedua-dua institusi pendidikan itu, di ibu negara, hari ini.

Liow turut berkata bahawa beliau berjumpa dengan Menteri Pengangkutan China, Li Xiao Peng, semasa lawatan beliau ke negara itu baru-baru ini, dan berkesempatan untuk berbincang dan bertukar pendapat mengenai pencarian pesawat MH370.

Katanya, China amat komited dalam pencarian tersebut.

Tambahnya, daripada 22 serpihan ditemukan setakat ini di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania, tiga serpihan telahpun disahkan berasal dari pesawat tersebut, dan analisis serpihan akan diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan.