Tutup

Buletin berkala untuk kes berprofil tinggi - Ketua Hakim Negara

Buletin berkala untuk kes berprofil tinggi - Ketua Hakim Negara
Buletin berkala akan diterbitkan untuk kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia akan menerbit dan mengedarkan buletin berkala untuk kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam di negara ini.

Menurut Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, langkah ini akan membolehkan orang awam mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berkenaan kes tersebut.

Tambahnya, ia adalah alternatif kepada menyiarkan perbicaraan kepada umum seperti yang berlaku di sesetengah negara.


Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum bergambar bersama hakim-hakim di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2019 Di Putrajaya. Foto: Bernama
Sebelum ini, dalam temu bual peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar bersama Astro AWANI tentang kes berprofil tinggi, Syed Iskandar mencadangkan agar kes ini disiarkan secara langsung di televisyen untuk memberikan orang awam peluang mengikuti kes berkenaan.

Tan Sri Richard Malanjum membuat kenyataan berkenaan dalam sidang media di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2019 di Putrajaya.

Mahkamah maya

Dalam sidang media yang sama, Richard turut mengulas mengenai idea 'mahkamah maya' sebagai sebahagian daripada pembaharuan dalam penyampaian sistem keadilan dipacu teknologi.




Sistem ini termasuk undian secara dalam talian untuk memilih hakim kes. Sistem ini dijangka meningkatkan ketelusan, keyakinan awam dan mengurangkan masa proses pemilihan.

Inovasi lain adalah pemberitahuan elektronik untuk sistem menunggu bagi peguam di mahkamah rayuan dan pengurusan kes dalam talian




Untuk menambah baik proses pengurusan kes, sistem pemberitahuan automatik melalui e-mel dan telefon bimbit akan diaktifkan bagi memastikan peguam tidak terlepas tarikh dan dokumen penting.

Pembaharuan lain termasuk sidang video yang akan digunakan di Shah Alam, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang.

Ia dijangka dapat mengurangkan kos termasuk kos perjalanan.


Khidmat masyarakat 

Dalam masa sama, Richard menyarankan pembaharuan lain termasuk khidmat masyarakat sebagai hukuman berbanding tempoh penjara untuk pesalah.






Pembaharuan lain termasuk toleransi sifar untuk penyelewengan dan rasuah, pengisytiharan harta kepada Ketua Hakim Negara, kod etika untuk hakim dan pegawai kehakiman.

Untuk mengukuhkan perkhidmatan kehakiman, perbicangan dan kerjasama yang lebih kukuh akan diadakan bersama pemegang kepentingan lain termasuk majlis peguam, organisasi antarabangsa, akademik dan jabatan kerajaan.

Richard juga mengumumkan mekanisma aduan kepada Pejabat Ketua Hakim Negara melalui talian WhatsApp 017-968 9848.






Tag: mahkamah, Mahkamah Persekutuan, Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2019, Tan Sri Richard Malanjum, Ketua Hakim Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Pejabat Ketua Hakim Negara, khidmat masyarakat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.