Buli kakitangan: Jabatan Kesihatan Perlis minta ruang untuk siasatan

Buli kakitangan: Jabatan Kesihatan Perlis minta ruang untuk siasatan
Pengarahnya Dr Sirajuddin Hashim berkata pihaknya masih menyiasat dan meneliti laporan kes itu secara menyeluruh. Foto: Facebook @CIDBOfficial
KANGAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mengesahkan pihaknya menerima laporan wujudnya dakwaan buli yang berlaku di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), yang tular di laman sosial Facebook, pada Sabtu. 
Pengarahnya Dr Sirajuddin Hashim berkata pihaknya masih menyiasat dan meneliti laporan kes itu secara menyeluruh.

"Terlalu awal untuk saya kata apa-apa di sini. Perkara ini masih dalam siasatan.

"Saya juga meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan beri ruang untuk siasatan dijalankan," katanya ketika dihubungi, pada Ahad. 

Terdahulu, tular di laman Facebook catatan seorang individu yang mendakwa bekas kakitangan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan kes buli di sebuah PKD di Perlis.

Catatan itu mendakwa dua kakitangan di PKD itu menjadi mangsa buli oleh dua penyelia berpangkat pegawai di tempat kerja mereka, dengan salah seorang yang dibuli dikatakan menerima rawatan psikiatri akibat kejadian itu.

Turut ditularkan rakaman suara dan laporan polis yang dibuat salah seorang individu yang didakwa dibuli.

-- BERNAMA