Pihak polis telah menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri bagi mendapatkan perintah untuk melaksanakan tindakan lanjut berhubung kes buli pelajar 13 tahun Sekolah Agama bantuan kerajaan di Jelapang di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata tindakan lanjut membolehkan kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan melibatkan enam pelajar senior yang bertindak mencederakan mangsa.

Menurut beliau, pihak polis telah mengambil rakaman percakapan daripada kesemua suspek dan akan menjalankan siasatan dengan merujuk kepada keterangan tiga saksi insiden buli berkenaan.

"Kesemua suspek telah dibuang dari asrama sekolah agama berkenaan, dan tindakan disiplin telah diambil kepada mereka semua namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Persaraan Warga PDRM Kontinjen Perak yang diadakan di Dewan Serbaguna Pengkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara, di sini pada petang Rabu.

Dalam pada itu, polis juga telah menangkap lebih daripada 10 orang lelaki lain berhubung kes sama setelah mereka terlibat dalam insiden serang balas dengan mencederakan salah seorang pelajar senior yang menyerang mangsa.

"Enam hari selepas insiden buli di surau sekolah agama berkenaan, beberapa lelaki dipercayai saudara mangsa pelajar yang dibuli telah datang dan membelasah salah seorang suspek sehingga parah di rumahnya,"katanya.

Gan berkata kes berkenaan dipercayai merupakan tindakan saudara mangsa membalas dendam kepada suspek-suspek yang mendatangkan kecederaan kepada mangsa sebelum ini.

"Kita akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana serangan balik ini melibatkan 10 orang suspek.

"Polis telah mengenalpasti kesemua yang terlibat dan akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat," ujar beliau.

Sebelum ini, seorang pelajar berusia 13 tahun mengalami kecederaan parah apabila tulang rusuk kirinya patah akibat dipukul oleh beberapa orang senior sekolah agama bantuan kerajaan di Jelapang.

Insiden itu berlaku apabila mangsa yang berada di surau sekolah enggan memberikan air minuman kotak laici kepada seorang pelajar Tingkatan Satu.

Selain itu,mangsa juga mengalami kecederaan di bahagian badan lain seperti luka di tangan kanan,dagu serta lebam di dada dan bahagian belakang badan setelah ditendang dan dipukul oleh sekumpulan pelajar senior sekitar pukul 1 pagi pada November lepas.