Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini membenarkan tahanan reman ke atas 15 suspek kejadian kes buli di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu semalam.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Wan Aziante Wan Karim pagi Rabu.

Kesemua suspek adalah pelajar tahun dua kolej berkenaan.

Mereka dikenakan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 12 Ogos depan.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam, dua pelajar tahun satu kolej yang sama mengalami kecederaan di beberapa anggota badan dipercayai dipukul beberapa pelajar senior.

Salah seorang mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Kejadian dipercayai berpunca daripada keengganan kedua mangsa mengikut arahan pelajar senior.

Ekoran itu, suspek yang tidak berpuas hati bertindak memukul serta membelasah mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.