Beberapa rumah, kemudahan awam serta bangunan sekolah swasta mengalami kerosakan teruk berikutan angin kencang yang melanda kawasan Kiulu, Tamparuli, Sabah semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pukak Kiulu, Douhin Sinur berkata angin yang bertiup kencang dua hari berturut-turut itu bukan sahaja menerbangkan bumbung rumah dan sekolah malah telah mengakibatkan Dewan Serbaguna Kampung Pukak, Kiulu ranap.

“Setakat ini, ada lima buah rumah, dua buah pondok dan yang paling teruk sekali sebuah bangunan dewan dan jambatan yang bertapak di tapak pelancongan Lakad Pukak ini juga telah mengalami kerosakan yang amat besar,” jelas beliau.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Joniston Bangkuai berkata kerosakan dewan serbaguna itu mencecah RM200,000.

“Yang paling teruk terjejas adalah dewan di kampung ini yang perlu dibina semula.

“Tindakan kita sekarang ialah untuk meminta JKKK untuk membuat satu laporan terperinci mengenai kerosakan supaya kita boleh ambil tindakan melaporkan kepada Jawatankuasa Bencana Alam Daerah dan juga kepada Kebajikan.

“Tapi bagi pihak pejabat ADUN kita akan membantu dari segi mengganti atap itu dulu untuk keselesaan penghuni rumah,” tambah Joniston.

Beliau memberitahu Astro AWANI selepas melakukan tinjauan kerosakan di kawasan Kiulu.

Dalam pada itu, sebuah blok bangunan sekolah swasta turut rosak ditiup angin kencang.

Menurut Penolong Kanan Sekolah Menengah Advent Sass Tamparuli, Alben Rotop kejadian itu berlaku sekitar jam 10.30 pagi kelmarin.

“Sekitar jam 10.30 hingga 11.00 pagi ketika semua pelajar dan anggota-anggota gereja beribadah dalam gereja, angin kencang itu telah mengakibatkan kerosakan yang teruk terutama sekali bangunan kelas yang dianggarkan RM300,000 kerosakan kesemuanya.

“Jadi kami mengharapkan supaya masalah ini dapat diselesaikan paling lama pun sebulan dan kami memerlukan dana dari pelbagai pihak.

“Kami juga memohon daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta ahli-ahli gereja yang lain. Bagaimanapun esok kami akan mengadakan mesyuarat tergempar daripada Sabah Mission sendiri untuk membuat penyelesaian jangka pendek masalah ini," tambah beliau kepada Astro AWANI.