Seorang pemuda dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tiga tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Abdul Wahab Mohamed selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah sepanjang prosiding berjalan.

Tertuduh, Mohd Hafiz Mohamad, 32, didakwa mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Muhamad Shukri Husin.

Perbuatan dilakukan di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu pada 16 Oktober 2016.


Media sebelum ini melaporkan anggota JPJ Pengkalan Kubor maut selepas ditikam kekasih adiknya.

Tertuduh yang berhasrat mengahwini adik mangsa dipercayai bertindak demikian selepas berang rahsianya yang merupakan suami orang dibongkar keluarga kekasihnya itu.

Sebelum kejadian, mangsa dan ahli keluarganya menemani Azlina untuk memeriksa status perkahwinan Mohd Hafiz di Pejabat Agama Islam Kuala Terengganu.


Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan enam kesan tikaman termasuk di leher dan dada kiri dipercayai menggunakan pisau oleh suspek.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.