Orang ramai seharusnya berupaya mengenal pasti tanda-tanda awal kecenderungan membunuh diri dan menggalakkan mereka yang mempunyai kecenderungan itu supaya mendapatkan sokongan profesional, kata penaung pergerakan Befrienders Kuala Lumpur Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata kejadian bunuh diri boleh dielak dan pembanterasannya boleh bermula dengan mengenal pasti tanda-tanda amaran dan menanganinya dengan lebih serius.

Katanya, orang ramai harus sedar apabila merasakan rakan-rakan atau sanak saudara dilihat mempunyai kecenderungan membunuh diri, mereka perlu menawarkan masa untuk mendengarnya dan memberi perhatian tanpa sebarang prejudis.

"Galakkan mereka untuk mendapatkan sokongan dengan menghubungi Befrienders atau bawalah berjumpa dengan profesional kesihatan mental," katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran buku kecil Befrienders Kuala Lumpur Suicide Prevention Booklet, di sini hari ini.

Beliau berkata kaji selidik Morbiditi dan Kesihatan Nasional (NHMS) 2017 yang dilaksanakan keatas pelajar sekolah menengah yang berumur antara 13 dan 17 tahun menunjukkan bahawa 10 peratus daripada mereka didapati mempunyai idea untuk membunuh diri sejak 12 bulan lepas.

"Jumlah kumpulan belia yang menghadapi isu berkaitan dengan kesihatan mental telah berganda sejak awal dekad. Jumlah ini membimbangkan dengan tiap seorang daripada 10 individu mempunyai isu berkaitan kesihatan mental pada tahun 2011, dan nisbahnya menjadi tiap seorang daripada lima individu pada tahun 2016.

-- BERNAMA