Bunuh Najadi: Hukuman gantung terhadap pemandu trak tunda kekal

Bunuh Najadi: Hukuman gantung terhadap pemandu trak tunda kekal
Pada 5 Sept, 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Azman Husin menjatuhi hukuman mati ke atas Koong kerana membunuh Najadi (gambar) dan hukuman penjara 18 tahun kerana cuba membunuh. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap pemandu trak tunda Koong Swee Kwan kerana membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan P.Ravinthran turut mengesahkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Koong kerana cuba membunuh isteri Najadi, Cheong Mei Kuen, 55.

Dalam keputusan sebulat suara untuk menolak rayuan Koong terhadap sabitan dan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu, Hakim Yaacob yang mengetuai panel hakim itu berkata terdapat bukti yang terlalu banyak terhadap Koong.

"Kami dapati sabitan beliau terhadap dua pertuduhan ini adalah kukuh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Persekutuan ketepi sabitan dalam kes bunuh pengasas AmBank

ARTIKEL BERKAITAN: Arab Malaysian Bank founder gunned down, wife seriously injured

Koong, 50, juga dikenali sebagai Sei Ngan Chai (Si Empat Mata) dijatuhi hukuman mati pada 27 Okt, 2017 kerana membunuh Najadi, 75, selepas perbicaraan semula kesnya. Dia juga dijatuhi hukuman penjara 18 tahun kerana cuba membunuh Cheong.

Koong didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon antara 1.30 tengah hari dan 2 petang pada 29 Julai 2013.

Pada 5 Sept, 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Azman Husin menjatuhi hukuman mati ke atas Koong kerana membunuh Najadi dan hukuman penjara 18 tahun kerana cuba membunuh.

Bagaimanapun, pada 14 Dis, 2016, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan dan memerintahkan supaya kes itu dibicarakan semula di hadapan hakim baharu.

Ini berikutan Mahkamah Persekutuan mendapati keputusan itu prejudis terhadap Koong kerana Mohd Azman juga mendengar rayuan seorang pemandu teksi, Chew Siang Chee yang berdepan pertuduhan memiliki pistol dan peluru. Chew dikatakan membawa Koong di dalam teksinya selepas insiden tembakan itu.

Chew disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan peluru hidup. Bagaimanapun, dia dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2015.

Perbicaraan semula itu didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Ab Karim Ab Rahman, (kini Hakim Mahkamah Tinggi).

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Koong, sebelum itu berhujah pembelaan anak guamnya tidak dinilai dengan adil dan saksama oleh hakim perbicaraan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Umar Saifuddin Jaafar yang dibantu DPP Tetralina Ahmed Fauzi, pula berhujah hakim Mahkamah Tinggi memberi pertimbangan sepenuhnya kepada keseluruhan kes pendakwaan dan pembelaan.


Sementara itu, Hakim Yaacob meminta pihak berkuasa penjara dan pendakwaan supaya mempermudahkan urusan Koong untuk membuat laporan polis terhadap seorang pegawai penjara yang didakwa (Koong) menderanya selepas Hisyam memaklumkan perkara itu kepada mahkamah.

Koong mempunyai satu lagi peringkat rayuan, iaitu kepada Mahkamah Persekutuan.


-- BERNAMA


Tag: Hussain Ahmad Najadi, AmBank, Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, undang-undang, pemandu teksi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.