Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Bursa Malaysia dibuka tinggi, teruskan kenaikan enam hari berturut-turut

Bursa Malaysia dibuka tinggi, teruskan kenaikan enam hari berturut-turut
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 48.14 mata kepada 10,211.75, Indeks FBMT 100 meningkat 43.96 mata kepada 10,049.87. Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan peningkatan selama enam hari berturut-turut untuk dibuka tinggi hari ini, menjejaki prestasi positif Wall Street dalam tempoh semalaman serta peningkatan harga minyak mentah.

Indeks utama turut didorong oleh minat belian berterusan bagi saham sarung tangan getah.

Pada 9.06 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.82 mata atau 0.34 peratus kepada 1,439.94 daripada 1,435.12 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks barometer itu dibuka 2.78 mata lebih kukuh kepada 1,437.49.
Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 335 berbanding 98, sementara 229 kaunter tidak berubah, 1,236 kaunter tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 458.77 juta unit bernilai RM260.16 juta.
Rakuten Trade Sdn Bhd menerusi nota penyelidikan berkata keyakinan daripada prestasi dalam tempoh semalaman yang lebih baik di Wall Street mungkin tersebar ke seluruh pasaran serantau hari ini.

Bagaimanapun potensi kenaikan dijangka dihadkan oleh aktiviti pengambilan untung, menurutnya.

"Bagi peringkat tempatan, kami yakin FBM KLCI berasaskan aliran meningkatnya berusaha untuk mencecah paras 1,450 memandangkan harga minyak mentah terus meningkat dengan minyak Brent kini bergerak sekitar US$36 setong berbanding US$27 setong pada seminggu lepas.

"Selain itu, kita mungkin menyaksikan rintangan bagi indeks petunjuk pasaran itu berada pada sekitar julat 1,440 hingga 1,445," katanya.

Pembuat sarung tangan getah terus mendahului kenaikan dalam kalangan saham berwajaran tinggi, dengan Top Glove, yang juga merupakan saham paling untung, melonjak 52 sen kepada RM11.32 dan Hartalega menambah 10 sen kepada RM9.52.

MISC naik tujuh sen kepada RM8.17, Maybank menokok dua sen kepada RM7.51 dan Public Bank meningkat empat sen kepada RM15.50.

Kaunter paling aktif termasuk Velesto yang menambah satu sen kepada 18 sen, Careplus naik 2.5 sen kepada 97.5 sen, Comfort Gloves meningkat 27 sen kepada RM2.75, waran HLT Global menokok setengah sen kepada 32 sen namun Eduspec turun setengah sen kepada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 48.14 mata kepada 10,211.75, Indeks FBMT 100 meningkat 43.96 mata kepada 10,049.87 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 67.86 mata kepada 11,619.48.

FBM ACE menambah 53.09 mata kepada 5,514.12 dan FBM 70 melonjak 97.56 mata kepada 12,735.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 26.57 mata kepada 12,475.37, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.09 mata kepada 124.96 dan Indeks Perladangan menokok 11.51 mata kepada 6.641.36.

-- BERNAMA