Polis menahan seorang buruh selepas dipercayai menghina dua anggota polis yang maut dalam kemalangan di Kilometer 183 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Gambang, di sini, semalam di laman sosial Facebook.
Suspek lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sebuah rumah di Kampung Parit Tengah, Pekan kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki itu dikatakan memuat naik komen berkenaan semalam di satu status berkenaan dengan kemalangan maut membabitkan dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di dalam kumpulan 'Komuniti Kuantan'.
"Suspek yang juga pemilik akaun Facebook 'Mohd Hannan' menyatakan 'padan muka polis segelintir jahat hahahahahahaha hahahah' di dalam ruangan komen itu.
"Laporan kemudian dibuat oleh seorang anggota polis yang tidak berpuas hati atas selepas menerima ''snapshot'' Facebook berkenaan di dalam kumpulan WhatsApp dan mahu tindakan sewajarnya diambil ke atas pemilik akaun Facebook itu," katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

BACA: Dua polis maut kereta peronda terbabas di LPT

Beliau berkata, bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pergi ke rumah berkenaan dan berjaya menahan suspek yang terbabit.
"Hasil pemeriksaan, kami merampas sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy J2 Prime dan dua kad sim.
Siasatan mendapati telefon bimbit yang dirampas itu positif digunakan untuk akaun Facebook berkaitan.
"Ujian air kencing juga sudah dijalankan ke atas suspek dan hasilnya negatif. Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini di Lokap Berpusat Indera Mahkota di sini mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.