MALAYSIA
Busuk, kotor dan tercemar. Apa sudah jadi dengan Langkawi?

Sampah dari seluruh Pulau Langkawi terpaksa dilonggokkan lantaran loji insinerator bernilai hampir RM70 juta tersebut tidak berfungsi - Foto Astro AWANI
Pulau Langkawi, sebuah destinasi pelancongan bertaraf dunia yang diiktiraf sebagai sebuah 'geoforest park' oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak tahun 2007.
Namun, pengiktirafan itu seolah-olah tidak seperti yang digambarkan menerusi pemerhatian penulis ketika berada di pulau lagenda itu.

Dianggarkan sekitar 200 ke 300 tan sampah dilonggokkan di kawasan Belanga Pechah, Ayer Hangat setiap hari. - Foto Astro AWANI
Mana tidaknya, loji insinerator bernilai hampir RM70 juta di pulau itu tidak berfungsi sejak sekian lama selain sampah dari seluruh pulau terpaksa dilonggokkan di tanah lapang bersebelahan insinerator tersebut.
Jaraknya kurang 20 meter dari kawasan yang menempatkan lebih 40 spesis paya bakau yang sememangnya menjadi tumpuan bukan sahaja para pelancong malah pengkaji dan pencinta alam semula jadi dari seantero dunia.

Air larut serap dari pusat longgokkan sampah itu mengalir masuk ke kawasan hutan paya bakau kerana jaraknya kurang 20 meter. - Foto Astro AWANI
Air hitam, busuk masuk ke Sungai Kilim
"Air itu daripada warna kelabu keputihan, sekarang ia bertukar menjadi warna hitam dan juga berbuih. Ia berlaku dalam tempoh selama satu minggu.
"Hujan, tapi tak kuat... tapi pelepasan air dari dalam sana (pusat longgokkan sampah) dia ke dalam sungai."

Bukan sahaja berwarna hitam pekat dan busuk, air serapan yang mengalir ke dalam Sungai Kilim turut berbuih. - Foto Astro AWANI
Ikuti pendedahan eksklusif Wartawan Astro AWANI, Asyraf Hasnan berkenaan kemelut 20 tahun pengurusan sisa pepejal di pulau itu.
Sementara itu, bagi Aktivis Pelancongan Langkawi, Adnan Hasan, beliau menyifatkan pencemaran yang berlaku di pulau itu seperti sebuah bom jangka.
Beliau gusar jika pencemaran tersebut akan memberi impak jangka masa panjang kepada ekosistem di kawasan itu.

Adnan Hasan kesal apabila menerima keluhan daripada pemandu bot pelancong yang dikatakan terjejas akibat pencemaran tersebut. - Foto Astro AWANI
"Kemerosotan jumlah pelancong kita tidak boleh tengok sebab ada perbezaan mengikut bulan dan musim. Tetapi kita boleh tengok dari segi maklum balas pelancong.
"Contohnya apabila pelancong datang (ke Jeti Sungai Kilim) mahu melawat paya bakau, kemudian pelancong batal niat tersebut. Perkara ini makin kerap berlaku disebabkan pelancong merasakan kawasan ini sangat busuk.

Sampah-sarap dari pusat longgokkan sampah itu juga hanyut masuk ke Sungai Kilim - Foto Astro AWANI
Malah, katanya pelancong turut mempersoalkan sama ada bau yang dihidu di kawasan itu adalah bau asli hutan paya bakau, atau bau sampah yang tidak diuruskan dengan sempurna.
Saya sudah putus asa! Itu perkataan yang terpacul dari mulut Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Langkawi, Eric R. Sinnaya ketika ditanya apakah usaha yang telah dilakukan beliau mewakili badan bukan kerajaan dalam menangani isu tersebut.
Tegas beliau, kemelut pengurusan sisa pepejal yang berlanjutan sejak 20 tahun lalu masih belum ada jalan penyelesaiannya.
Malah, beliau kecewa apabila cadangan dan idea yang dilontarkan badan bukan kerajaan dan aktivis alam sekitar di Pulau Langkawi dipandang enteng.

Hingga satu ketika, Eric membuat keputusan untuk melepaskan semua jawatannya sebagai aktivis alam sekitar lantaran kegagalan menyelamatkan Pulau Langkawi. - Foto Astro AWANI
"Maksud saya, saya boleh buat tak kisah dan tidak peduli. Tak peduli sebab apa? Sebab apa yang kita buat pun kita tidak dapat apa-apa hasil. Bila kita tunjuk ajar kepada mereka, mereka tidak memberi sokongan. Sistem ini sangat teruk," katanya.
Pada masa sama, Eric mengakui agensi kerajaan seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersikap acuh tidak acuh dengan pencemaran berkenaan.
Tahap kandungan bakteria dipersoal
Adakah hidupan laut di kawasan itu selamat di makan?
Itu yang dipersoalkan Perunding Perubatan, Dr Abdul Ghani Hussain, yang turut mengesahkan bakteria seperti salmonella dan e-coli antara bakteria yang semangnya aktif di Sungai Kilim.
Malah, beliau mempersoalkan sejauh mana tahap bakteria yang terkandung dalam sungai itu boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia.

Dr Abdul Ghani mempersoal tahap kandungan bakteria dalam Sungai Kilim di mana beliau gusar ia bakal memberi kesan kepada masyarakat. - Foto Astro AWANI
"Keadaan di sini amat genting sekarang apabila kita tengok air daripada tempat pelupusan sampah ini masuk dalam sungai, jadi banyak yang boleh kita andaikan kemungkinan yang berlaku.
"Air yang dibawa dari tempat pelupusan sampah ini membawa banyak jenis kuman yang merebak dalam tempat pelupusan seperti salmonella dan e-coli sememangnya mesti ada dalam air ini," ujarnya.
Anak tempatan Langkawi itu memberitahu, nelayan termasuk pelancong turut terdedah kepada penyakit bawaan air termasuk radang kulit dan kencing tikus.
Justeru, terus menjadi persoalan, hingga bila kemelut ini akan berlanjutan?
Berikut merupakan kronologi pembinaan, pengoperasian hingga kegagalan loji insinerator di Pulau Langkawi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami