Landskap media kini mula berubah apabila perkembangan teknologi berlaku dengan pantas menyebabkan peluang pekerjaan semakin terhad kepada graduan bidang media.

Graduan media pada hari ini pula mula beralih arah untuk melakukan aktiviti GIG Ekonomi berikutan kekurangannya peluang pekerjaaan di bidang media terutama dalam organisasi media arus perdana di negara ini setelah munculnya kemajuan teknologi.

Peluang melakukan GIG Ekonomi boleh dilakukan oleh mereka di dalam ataupun luar negara kerana pelajar didedahkan dengan teknik-teknik baru dalam dunia media termasuk media sosial.


Mereka boleh menjalankan perniagaan secara solo atau solo bisnes dengan menggunakan kemahiran yang ada bagi menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung dengan organisasi media yang besar di negara ini.

Pengalaman menguruskan produk GIG Ekonomi di universiti mampu mendidik mereka untuk berada dalam dunia perniagaan yang sebenar serta ia boleh diterapkan dalam kehidupan hari mereka selepas bergelar graduan satu hari nanti.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Prof Madya Dr Mohd Sobhi Ishak, berkata pelbagai pengetahuan teknikal dan penggunaan peralatan terkini perlu dikuasai oleh pelajar selaras dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0 yang berkonsepkan media dan ekonomi digital. Keusahawanan media digital diterapkan kepada pelajar untuk mengendalikan solo bisnes selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata, aktiviti GIG Ekonomi yang diterapkan akan membantu universiti daripada segi meningkatkan dan memperkasa kebolehpasaran graduan kerana mereka tidak perlu bergantung untuk bekerja dengan sektor kerajaan mahupun organisasi media arus perdana.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Produk GIG Ekonomi (Sintok Media) di Dewan Seminar SMMTC, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dihadiri oleh 200 pelajar media yang terbabit dalam projek Digital Integrated News Room UUM.

Mohd Sobhi berkata, dengan menerapkan elemen skil dan kemahiran mereka mampu bergraduat dengan penuh bergaya kerana dunia media pada hari ini memerlukan pekerja yang mempunyai pelbagai kemahiran, berpengetahuan tinggi, dan berdaya saing.



*Laporan disediakan AWANI Rangers UUM, Zarith Sofea Zaharin dan disemak Azahar Kasim

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.