Seorang warga emas ditahan pihak polis semalam, selepas mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail berkata, suspek berusia 65 tahun itu merupakan ahli jawatankuasa masjid ditahan selepas bapa mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Katanya, kejadian berlaku pada jam 10:50 malam di dalam sebuah masjid di sini.

"Semasa kejadian, mangsa pergi ke masjid dengan bapanya untuk solat tarawih.

"Bapa mangsa telah diberitahu oleh mangsa tentang kejadian, yang mana suspek telah bertindak mencium dan meraba kemaluan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rozeni berkata, menurut bapa mangsa, akibat daripada kejadian itu kanak-kanak tersebut mengalami kemurungan dan tidak ceria sepertia biasa.

Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan di tempat kejadian, masjid berkenaan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

"Berdasarkan rakaman berkenaan, pihak Polis telah membuat tangkapan ke atas suspek semalam.

"Kes disiasat di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.