Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menganggap cadangan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar untuk menurunkan had umur kahwin perempuan kepada 14 tahun dan lelaki kepada 16 tahun bagi mematuhi undang-undang syariah adalah sesuatu “kegilaan”.

Khairy yang memberi respons melalui balasan Tweet artikel berita Malay Mail menegaskan, jangan pula ada pihak yang menyatakan “tidak perlu mempersoalkan mufti”, “pergi belajar agama” atau lain-lain lagi berikutan kenyataannya itu.

Menurutnya, apa yang dicadangkan mufti berkenaan adalah merupakan sesuatu ‘kegilaan’.

Madness. Jangan pula ada yang cakap ‘don’t question Mufti’, ‘pergi belajar agama’… This is madness. Pain and simple,” balasan Khairy, hari ini.

Laporan Malay Mail yang dipetik dari laporan New Straits Times (NST) berkenaan turut menyatakan Bungsu menegaskan kepentingan untuk prosedur perkahwinan diperketat melalui mahkamah.

Malah menurut Bungsu, alasan utama dibenarkan untuk berkahwin lebih awal ialah disebabkan sesetengah kanak-kanak kini sudah boleh dianggap matang.

Bungsu berkata demikian bagi memberi maklum balas kepada cadangan kerajaan untuk menaikkan usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Respons Tweet Khairy berkenaan mendatangkan banyak reaksi Tweet dari pengguna Twitter apabila masing-masing memberikan nasihat kepada Khairy untuk berfikir dari sudut pandangan Mufti Sabah serta senario di kawasan pendalaman Sabah.

Seorang pengguna Twitter Annuar Zainal yang memberikan reaksi terhadap komen balas Khairy menyatakan Mufti Sabah lebih mengetahui suasana dan keperluan di Sabah.

“Mufti Sabah lebih mengetahui suasana dan keperluan di Sabah berbanding kita yang tahu komen. Harap tak jadi YB (Yang Berhormat) yang hanya pandai cakap tapi cara tindakan bukan seperti seorang YB.

Khairy yang membalas reaksi berkenaan menegaskan beliau tidak mengetahui keperluan di Sabah adalah perkahwinan kanak-kanak.

“Minta maaf saya tak tahu yang keperluan di Sabah adalah child marriage. Saya hanya pandai cakap,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mencadangkan untuk membuat pindaan had umur minimum perkahwinan bagi perempuan kepada 18 tahun berbanding 16 tahun di bawah undang-undang sedia ada.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menegaskan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun susulan isu perkahwinan kanak-kanak dengan duda berumur 44 tahun di Kelantan.