Cadangan menangguhkan sementara bayaran balik Pinjaman Perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan dibawa dalam mesyuarat kabinet.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebarang keputusan akan diumumkan selepas itu.

“Kita akan bincang dan tunggulah. Kita akan bawa cadangan itu dalam mesyuarat kabinet akan datang. Kita juga terima banyak lagi cadangan dan tunggu keputusannya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima sumbangan penutup muka dan ventilator daripada China Construction Bank (Malaysia) Berhad dan Beibu Gulf Holding Malaysia.

Beliau diminta mengulas cadangan agar LPPSA menuruti langkah institusi perbankan untuk memberikan penangguhan pembayaran pinjaman perumahan selama enam bulan kepada peminjam yang juga penjawat
awam bagi meringankan beban mereka ketika penularan COVID-19.

Cadangan itu diutarakan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berpendapat moratorium itu dapat mengurangkan beban rakyat yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).