Tutup

CAEXPO 2019: Malaysia catat nilai jualan RM678 juta

CAEXPO 2019: Malaysia catat nilai jualan RM678 juta
Khairul Annuar berkata, tujuh MoU bernilai RM31.71 juta ditandatangani antara syarikat Malaysia dan pengimport China membabitkan produk durian, penjagaan kesihatan dan bayi, ketika CAEXPO 2019 di Nanning. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pavilion Malaysia pada Ekspo China-ASEAN Ke-16 (CAEXPO) 2019 berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM678 juta dengan peningkatan sebanyak enam peratus berbanding tahun lalu, iaitu RM640 juta.

Pengarah Pemasaran Eksport & Bahagian Akses Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Khairul Annuar Abdul Halim berkata, jumlah tersebut merupakan keseluruhan nilai sepanjang empat hari ekspo tersebut berlangsung.
"Pada tahun ini, makanan dan minuman memberi impak kukuh dengan kutipan RM387.20 juta, manakala produk kesihatan sebanyak RM160.68 juta, gaya hidup dengan RM129.88 juta serta perkhidmatan dengan RM0.5 juta," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Dalam pada itu, Khairul Annuar berkata, sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM31.71 juta ditandatangani antara syarikat Malaysia dan pengimport China membabitkan produk durian, penjagaan kesihatan dan bayi.
"MATRADE turut menganjurkan lebih 1,000 sesi padanan perniagaan di CAEXPO antara syarikat Malaysia dan rakan dari China.

"Pavilion Malaysia turut menerima dua anugerah pengiktirafan daripada penganjur untuk BestTrade and Economy Outcome dan BestTrade Visitor Organiser," jelas beliau.

CAEXPO 2019 menyaksikan penyertaan sebanyak 167 syarikat melibatkan 151 perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

Tahun depan, CAEXPO ke-17 dijangka diadakan pada 18 hingga 21 September.

Ekspo itu yang dianjurkan setiap tahun di Nanning sejak 2004, adalah platform untuk menggalakkan kerjasama antara China dan ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Bagi Malaysia, jumlah perdagangan dua hala dengan China menunjukkan penurunan sedikit iaitu 4.1 peratus kepada RM43.01 bilion pada separuh pertama 2019 berbanding tempoh sama pada 2018 iaitu RM44.86 billion.