Sabah dan Sarawak sememangnya mempunyai pelbagai produk dengan keunikan tersendiri, yang nyata berbeza dengan yang ada di serata Semenanjung Malaysia.

Jadi tidak hairanlah masyarakat China mudah tertarik dengan produk dari dua negeri terbesar Malaysia itu apabila ia dipamerkan di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2019 di Nanning yang berlangsung pada 21 hingga 24 September depan.

Menurut peniaga baju dan kraftangan dari Bumi Kenyalang, Mary Jim, yang memulakan perniagaan tiga tahun lepas, beliau tidak menyangka sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti China walaupun baru memasuki hari kedua pameran tersebut.

"Saya membantu 10 usahawan yang berada di kawasan luar bandar menjual baju dan kraftangan, walaupun pertama kali sertai CAEXPO tapi saya dapat lihat komuniti China sangat menghargai fesyen terutamanya yang menampilkan keunikan serta nilai budaya masyarakat Borneo.

"Tetapi kita kena tahu citarasa mereka dari segi warna atau fesyen yang banyak digayakan di China. Kita gayakan fesyen mereka tetapi ia ada elemen budaya kita.

"Hari pertama kami telah mencapai jualan yang tinggi," katanya ketika ditemui Astro AWANI, pada Ahad.

Bagi peniaga barangan bayi, Norfaranina Zaki yang juga pertama kali menyertai CAEXPO, produk beliau mendapat reaksi positif daripada peniaga di Nanning melalui sesi padanan perniagaan (B2B) Malaysia-China yang dijalankan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

"Semasa sesi (B2B) kebanyakan mereka sehingga mahukan formula kami untuk membuat jenama mereka sendiri jadi kami membuat perbincangan dengan banyak potensi rakan niaga di sini.

"Saya juga dapat membuat analisis pasaran China dengan lebih baik kerana kebanyakan ibu bapa di sini mementingkan produk asli dan ini memberi kelebihan kerana di Sabah sememangnya banyak bahan-bahan asli seperti yang digunakan dalam produk kami," jelasnya.

Sementara itu, peniaga dari Sarawak, Zulina Aini berkata inovasi sayur peria yang dijadikan snek menarik minat masyarakat China untuk mencuba sesuatu yang baharu.

"Peria memang makanan masyarakat China jadi sambutan sangat menggalakkan cuma mereka hairan dengan inovasi produk kami yang menjadikannya snek.

"Hari pertama dan kedua sesi padanan perniagaan B2B, kami telah berjaya mendapatkan potensi rakan niaga di China dan ini menunjukkan perkembangan positif bagi kami untuk melebarkan sayap di pasaran ini," jelasnya.

CAEXPO 2019 berlangsung dari 21 hingga 24 September ini melibatkan delegasi Malaysia seramai 167 PKS dan agensi kerajaan.