Cadangan peningkatan kadar baharu caj perkhidmatan penerbangan akan memastikan sistem pengangkutan udara di negara ini sentiasa berada pada tahap terbaik.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia seiring langkah persediaan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk dinaiktaraf menjadi pihak berkuasa penerbangan awam yang mempunyai sumber kewangan sendiri.

Jelasnya, cadangan kadar baharu itu dibuat selepas 40 tahun ia tidak disemak semula selain perbincangan mengenainya telah dibuat sejak beberapa tahun lalu.

"Bila kita naikkan kadar, kita juga memberi perkhidmatan yang lebih baik, kita beri servis yang lebih baik dan memberi peralatan kawalan udara yang lebih baik.

"Pastinya pengusaha ini penerbangan dapat mengurangkan kos operasi mereka apabila menggunakan perkhidmatan kita. Ia melibatkan perkhidmatan yang canggih dengan pengurangan kos," katanya.

Tiong Lai berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Jelas Tiong Lai, yuran baharu itu akan dikenakan kepada sesiapa yang menggunakan khidmat pengangkutan udara.

"Pertemuan di antara Kementerian Pengangkutan dengan pemain industri akan diadakan hari ini dan hasil perbincangan itu akan diumumkan pada Jumaat," ujarnya.

Sebelum ini, DCA bercadang untuk menaikkan kadar caj penerbangan kepada syarikat penerbangan bermula 15 April ini.

Peningkatan ini melibatkan perkhidmatan ruang udara, kemudahan trafik udara dan perkhidmatan lain khusus bagi Sijil Operasi Udara (AOC) serta lesen penerbangan bagi juruterbang.