Caj rawatan pergigian bagi pesakit luar di hospital kerajaan kekal pada kadar sama berikutan kerajaan terus komited memberikan subsidi tinggi kepada rakyat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pesakit luar hanya perlu membayar RM2 bagi perkhidmatan penskaleran dan penggilapan gigi (cuci gigi), RM2 untuk tampalan gigi dan RM1 untuk cabutan gigi.

"Walaupun sememangnya terdapat keperluan kenaikan caj bagi prosedur rawatan sedia ada, kerajaan terus komited memberikan subsidi yang tinggi bagi rakyat termasuk rawatan pesakit luar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Noor Hisham memberikan contoh bagi penskaleran dan penggilapan gigi, kos rawatan pesakit luar bersubsidi di Kementerian Kesihatan adalah RM55 mengikut kadar caj prosedur 2017, namun pesakit luar yang diberi subsidi tinggi hanya perlu membayar RM2 sahaja.

Beliau berkata caj bagi prosedur rawatan sedia ada dalam Perintah Fi (Perubatan) 1982 tidak pernah disemak selama 35 tahun sedangkan kos sebenar telah meningkat.

Justeru, katanya, perintah fi tersebut telah dikemas kini di mana Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 menunjukkan kos rawatan asas semasa (bersubsidi) bagi rawatan pergigian di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa kadar subsidi semasa sebenarnya telah bertambah berbanding dahulu.

Katanya seperti yang diamalkan bagi bil di hospital untuk pesakit dalam, pesakit luar pergigian akan diberikan pemakluman caj rawatan yang akan menunjukkan kos sebenar rawatan yang disubsidi oleh kerajaan.

"Oleh itu, senarai caj yang disenaraikan dalam Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 bagi pesakit luar adalah untuk kegunaan pihak hospital dan klinik bagi memudahkan pemakluman tersebut," katanya.

Dr Noor Hisham berkata pengecualian bayaran bagi golongan tertentu pula adalah dikekalkan seperti sedia ada mengikut tatacara yang telah digariskan.

-- BERNAMA